DUNIA
Angka korban di Semenanjung Gaza melebihi 67,000 - Pihak Berkuasa

Seramai 67,074 orang terbunuh dan 169,430 lagi cedera sejak konflik berkenaan meletus. - Reuters
GAZA: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, telah melebihi 67,000 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Sabtu, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa kesihatan itu dalam satu kenyataan berkata seramai 67,074 orang terbunuh dan 169,430 lagi cedera sejak konflik berkenaan meletus.
Dalam kenyataan berasingan, pihak berkuasa itu memaklumkan dua kanak-kanak meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, menjadikan jumlah kematian yang dikaitkan dengan kekurangan makanan seramai 459 orang, termasuk 154 kanak-kanak.
Walaupun Israel mengeluarkan kenyataan yang membayangkan pengurangan operasi ketenteraan susulan gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghentikan pengeboman dan persetujuan Hamas untuk membebaskan semua tawanan, tentera udara Israel tetap melancarkan siri serangan udara besar-besaran ke atas Bandaraya Gaza pada pagi Sabtu.Menurut saksi, tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah puluhan orang awam yang cuba bergerak dari selatan Gaza ke bahagian utara Semenanjung itu melalui koridor Netzarim berhampiran Rashid Street.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, tentera Israel memberi amaran kepada penduduk agar tidak kembali ke kawasan di utara Wadi Gaza, menyifatkannya sebagai "masih zon pertempuran berbahaya", dan menggesa orang awam untuk menggunakan Rashid Street untuk bergerak ke selatan.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami