DUNIA
Angka korban perang Israel di Gaza melebihi 64,800, tujuh lagi maut akibat kebuluran

Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat menghulurkan bantuan - Reuters
ANKARA: Sekurang-kurangnya 64,803 rakyat Palestin maut dalam perang genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, selepas tujuh lagi mangsa meninggal dunia akibat kebuluran di wilayah itu, kata Kementerian Kesihatan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata sebanyak 47 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lepas manakala 205 orang cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa cedera kepada 164,264 orang sejak serangan bermula.
Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat menghulurkan bantuan, menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa lima rakyat Palestin terbunuh dan lebih 26 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lepas.Angka itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh ketika mendapatkan bantuan sejak 27 Mei, iaitu ketika operasi kontroversi Yayasan Kemanusiaan Gaza dilancarkan, meningkat kepada 2,484 orang, manakala lebih 18,117 lagi cedera.
Dalam tempoh sama, tujuh lagi rakyat Palestin termasuk dua kanak-kanak maut akibat malnutrisi dan kebuluran, menjadikan jumlah kematian berkaitan kebuluran sejak Oktober 2023 meningkat kepada 420 orang, termasuk 145 kanak-kanak.
Sejak 2 Mac, pihak berkuasa Israel menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan Gaza, sekali gus memburukkan lagi penderitaan penduduk Palestin di wilayah itu.
Kebuluran disahkan berlaku di utara Gaza pada pertengahan Ogos dan dijangka merebak ke Deir al-Balah serta Khan Younis menjelang akhir September, menurut Klasifikasi Fasa Keterjaminan Makanan Bersepadu, sebuah badan pemantau kelaparan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami