BEKAS angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Walter Cunningham, meninggal dunia pada usia 90 tahun pada Selasa.

Mendiang dilaporkan mengalami komplikasi selepas terjatuh, di Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS), pada awal pagi Selasa waktu tempatan.

"Kami sangat berbangga dengan kejayaan yang diperolehi selama ini.

"Beliau merupakan pembela negara, seorang penjelajah, juruterbang, angkasawan, suami, abang dan seorang bapa.

"Dunia ini telah kehilangan seorang lagi wira dan kami akan sangat merinduinya," kata keluarga mendiang dalam satu kenyataan.

Cunningham menyertai misi ke angkasa lepas menggunakan Apollo 7, roket pertama dalam Program Apollo NASA yang dinaiki manusia pada tahun 1968.

Misi 11 hari mengelilingi bumi itu merupakan program penting sebelum NASA melancarkan misi ke bulan.

"Cunningham merupakan juruterbang jet pejuang, seorang ahli fizik dan juga seorang usahawan. Namun yang paling penting, beliau merupakan seorang penjelajah.

"NASA akan sentiasa mengingati sumbangan beliau kepada program angkasa lepas negara kita dan kami semua mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang," kata Pentadbir NASA Bill Nelson.

Cunningham dilahirkan pada 16 Mac, 1932 di Creston, Iowa, AS.

Beliau bersekolah di Venice High School, California sebelum melanjutkan pelajaran di University of California.

Cunningham kemudian menerima ijazah kedoktoran dalam bidang fizik di Harvard Graduate School of Business pada tahun 1974.

Selepas itu mendiang menjadi juruterbang jet pejuang Marine Corps AS pada tahun 1951 dan menyertai 54 misi ke Korea.

Selepas bersara dari angkatan tentera, beliau menjadi seorang saintis di Rand Corporation mengkaji magnetosfera bumi.

Pada tahun 1963, Cunningham dipilih sebagai angkasawan bagi menyertai program NASA.

Beliau bersara dari NASA pada tahun 1971.