MOSCOW: Angkasawan yang memegang rekod menetap di angkasa lepas untuk tempoh paling lama dalam satu kunjungan, meninggal dunia pada usia 80 tahun, umum agensi angkasa lepas Rusia pada Isnin.

Valery Vladimirovich Polyakov pernah mencatat tempoh selama 437 hari di angkasa lepas bermula 8 Januari 1994, apabila dia dan dua lagi angkasawan menyertai perjalanan selama dua hari ke stesen angkasa lepas Soviet, Mir.

AP melaporkan, semasa di Mir, Polyakov telah mengorbit Bumi lebih daripada 7,000 kali, sebelum akhirnya pulang pada 22 Mac 1995.

Sewaktu mendarat, Polyakov menolak bantuan untuk diusung keluar dari kapsul Soyuz untuk dibawa ke kenderaan yang disediakan. Lazimnya, angkasawan perlu dipapah dan diusung sekumpulan petugas supaya tubuh mereka dapat membiasakan semula dengan tarikan graviti.

Sebaliknya, Polyakov hanya dibantu sedikit sewaktu hendak keluar dari kapsul. Seterusnya, dia sendiri berjalan kaki untuk ke sebuah kenderaan khas yang menantinya. Polyakov yang dilatih sebagai petugas perubatan mahu menunjukkan kepada umum bahawa tubuh manusia mampu bertahan walau sudah dalam tempoh yang lama di angkasa lepas.

Tokoh angkasawan itu sebelumnya telah menyertai misi di angkasa lepas selama 288 hari pada tahun 1988-1989.

Jika dicampurkan secara keseluruhan, sepanjang hayatnya, dia pernah bertugas di angkasa lepas selama 22 bulan.

Pengumuman oleh agensi angkasa lepas Roscosmos walau bagaimanapun tidak menyatakan sebab kematiannya.