SYDNEY: Parti Liberal Australia menukar haluan kepimpinan selepas Angus Taylor menewaskan Sussan Ley dalam undian parti, sekali gus menamatkan tempoh sembilan bulan Ley sebagai ketua pembangkang.
Taylor, daripada blok konservatif parti, menang undian rahsia 34–17 pada mesyuarat khas pagi Jumaat.
Advertisement
Senator Jane Hume dipilih sebagai timbalan baharu.
Ley dilantik tahun lalu susulan kekalahan besar gabungan Liberal–Nasional, namun sejak itu terpalit dengan keputusan tinjauan yang suram dan masalah dalaman.
Tekanan memuncak apabila Taylor mengumumkan cabaran terbuka awal minggu ini, menamatkan spekulasi berbulan‑bulan mengenai kedudukan beliau.
Sejurus keputusan diumumkan, Ley berkata beliau akan melepaskan kerusi Parlimen dan “berundur sepenuhnya daripada kehidupan awam”.
Beliau menzahirkan sokongan kepada penggantinya, namun menyindir pengalaman yang dilaluinya dengan menyebut keperluan memberi pemimpin baharu “ruang yang jelas”, sesuatu yang menurutnya tidak selalu dinikmati ketua parti.
Taylor, bekas perunding pengurusan yang mula memasuki Parlimen pada 2013 dan pernah berkhidmat dalam kabinet Turnbull serta Morrison, pernah tewas tipis kepada Ley pada 2025.
Kemenangannya kali ini mengakhiri kemelut yang menyaksikan gabungan Liberal–Nasional berpecah dua kali dalam tempoh singkat di bawah kepimpinan Ley.
Di lapangan politik, cabaran Taylor bukan kecil. Beberapa siri tinjauan mutakhir menunjukkan One Nation melonjak mendahului gabungan pembangkang sebagai blok kedua terbesar, ketika Liberal kehilangan sokongan di bandar‑bandar utama dan terus berpecah mengenai hala tuju dasar tenaga dan iklim.
Bagi penyokong Taylor, pertukaran ini diharap menyatukan parti dan memulihkan tumpuan kepada isu kos sara hidup serta pemulihan imej pembangkang.
Namun penentang dalam parti memberi amaran rekod Taylor, terutama dalam portfolio ekonomi, akan terus menjadi sasaran kerajaan dan memerlukan penetapan naratif baharu dengan segera.