Skip to main content

Dunia

Anutin kekal Perdana Menteri Thailand selepas menang undian Parlimen

Thailand's caretaker Prime Minister, Bhumjaithai Party leader and prime ministerial candidate Anutin Charnvirakul, arrives at the parliament ahead of the vote for a new prime minister, in Bangkok, Thailand, March 19, 2026. REUTERS/Chalinee Thirasupa
Kemenangan pemimpin Parti Bhumjaithai itu menyaksikan beliau menewaskan pencabar terdekatnya, Natthaphong Ruengpanyawut daripada Parti Rakyat yang berhaluan progresif.

BANGKOK: Anutin Charnvirakul terpilih semula sebagai Perdana Menteri Thailand selepas memperoleh kemenangan besar dalam undian Parlimen pada Khamis, sekali gus menamatkan kemelut politik berpanjangan di negara berkenaan.

Kemenangan pemimpin Parti Bhumjaithai itu menyaksikan beliau menewaskan pencabar terdekatnya, Natthaphong Ruengpanyawut daripada Parti Rakyat yang berhaluan progresif.

Advertisement

Anutin, 59, mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri Thailand pertama dalam tempoh dua dekad yang berjaya mengekalkan jawatannya menerusi undian semula parlimen selepas memenangi pilihan raya umum bulan lalu.

Dalam ucapannya di Parlimen, Anutin menegaskan kesediaannya menerima cadangan untuk memastikan beliau dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua kerajaan.

“Suara anda semua didengari secara saksama dan saya sedia menerima sebarang cadangan bagi membolehkan saya menjalankan tugas sebagai ketua kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” kata Anutin.

Beliau berkata matlamat utamanya kini adalah untuk segera membentuk kabinet baharu bagi menyelesaikan masalah ekonomi negara yang terbeban dengan hutang isi rumah yang tinggi.

Penganalisis politik berpendapat kejayaan Anutin berpunca daripada keupayaannya mengemudi sokongan nasionalisme susulan konflik sempadan dengan Kemboja tahun lalu, selain kebijaksanaan beliau membentuk pakatan dengan Parti Pheu Thai dan beberapa parti kecil lain.

Gabungan itu kini dijangka menguasai 292 daripada 499 kerusi di Dewan Rakyat, memberikan mandat kukuh kepada beliau untuk menerajui ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.

Pelantikan semula Anutin dilihat sebagai sinar baharu untuk kestabilan politik Thailand yang selama ini sering terganggu oleh campur tangan pihak tentera dan kehakiman.

Kepimpinan beliau kini diuji untuk memacu pemulihan ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global dan impak peperangan antara Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang menjejaskan bekalan tenaga di rantau ini.

Must Watch Video