Anwar akan bincang akses darat hantar bantuan Gaza bersama Presiden Mesir

Anwar berkata cadangan itu merupakan sebahagian daripada langkah bagi memastikan kelancaran pergerakan pasukan Malaysia di bawah Misi Sumud Nusantara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dalam beberapa hari lagi bagi membincangkan usaha memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui darat menerusi lintasan Rafah.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi bagi membincangkan laluan bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui lintasan Rafah, sebagai sebahagian usaha menyokong Misi Sumud Nusantara.
- Anwar menegaskan bahawa misi flotila seperti Global Sumud Flotilla bukan inisiatif peribadi beliau, sebaliknya digerakkan oleh aktivis Malaysia dan antarabangsa atas semangat solidariti, dengan kerajaan menyediakan sokongan dan kemudahan.
- Seramai 32 peserta Malaysia daripada misi GSF, FFC dan TMTG telah selamat pulang selepas dipintas dan ditahan oleh pasukan keselamatan Israel, manakala Anwar menyatakan harapan agar akses bantuan dapat dipermudah susulan keadaan yang semakin reda.
"Saya berharap dapat berhubung dengan Presiden Abdel Fattah el-Sisi dalam beberapa hari lagi untuk mencadangkan supaya pasukan kita dibenarkan melalui Mesir ke Rafah bagi meneruskan misi bantuan," katanya.
Anwar berkata demikian semasa sesi 'In Conversation with Prime Minister' yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan timbalannya Datuk Mustapha Sakmud.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan daripada peserta berhubung usaha Malaysia dalam bantuan kemanusiaan ke Gaza serta peranan yang boleh dimainkan oleh anak muda negara dalam isu berkenaan.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pergerakan flotila, termasuk Global Sumud Flotilla (GSF), bukan inisiatif peribadinya, sebaliknya menghargai usaha para aktivis antarabangsa dan Malaysia yang menerajui misi itu atas dasar keprihatinan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata kerajaan hanya menyediakan sokongan dan kemudahan kepada kumpulan dari Malaysia, Sumud Nusantara, sebagai pengiktirafan terhadap semangat sukarelawan yang bertindak atas hati nurani demi mempertahankan nilai sejagat keadilan, kebebasan dan maruah manusia.
"Flotila itu bukan inisiatif saya, saya tidak boleh mengambil kredit atasnya."
"Ada anak muda Malaysia yang mahu mengetuai usaha itu, dan saya kata, 'Baiklah.' Kami menyokong serta memudah cara mereka, dan kebetulan saya menjadi pemimpin pertama yang memberi sokongan rasmi terhadap misi tersebut," katanya.
Pada 8 Okt lepas, seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di tanah air, manakala sembilan lagi peserta daripada misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG) tiba pada Ahad.
Kedua-dua misi kemanusiaan ke Gaza itu telah dipintas secara berasingan oleh pasukan keselamatan Israel sebelum para peserta mereka ditahan dan kemudian dibebaskan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami