Skip to main content

Sukan

Mahkota liga pertama sejak 2020, Cristiano Ronaldo akhirnya tawan Arab Saudi

Soccer Football - Saudi Pro League - Al Nassr v Damac - Al Awwal Park, Riyadh, Saudi Arabia - May 21, 2026 Al Nassr's Cristiano Ronaldo celebrates with the trophy after winning the Saudi Pro League REUTERS/Hamad I Mohammed
Ronaldo meraikan kejayaan bersama trofi selepas Al-Nassr menang Liga Pro Saudi dalam perlawanan antara Al Nassr dan Damac di Al Awwal Park, Riyadh, Arab Saudi, 21 Mei 2026. REUTERS

PADA usia 41 tahun, Cristiano Ronaldo, pemenang Anugerah Ballon d'Or lima kali, terus menambah koleksi kejuaraan dalam penampilan bersama lima kelab berbeza sepanjang kariernya.

Ia menjadi tonik terbaik menuju Piala Dunia 2026 bersama Portugal yang akan berlangsung Jun ini.

Dua gol daripada Ronaldo membantu Al-Nassr meraih gelaran Liga Pro Saudi dengan kemenangan 4-1 ke atas Damac pada hari terakhir musim ini, dengan Sadio Mane dan Kingsley Coman turut menjaringkan gol untuk pasukan.

Kemenangan itu bermakna Al-Nassr menamatkan musim dengan 86 mata, dua mata di hadapan pesaingnya, Al Hilal, yang menewaskan Al-Fayha 1-0 tetapi terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Kejayaan itu menandakan mahkota liga pertama Al-Nassr sejak 2019 dan gelaran Arab Saudi pertama untuk bekas bintang Real Madrid itu, yang menyertai pasukan itu pada akhir 2022 selepas kali terakhir menjuarai liga domestik bersama Juventus pada 2020.

Al-Nassr memecah kebuntuan pada minit ke-34 apabila Mane menyambut sepakan sudut Joao Felix, menanduk masuk melepasi penjaga gol.

Mereka melanjutkan pendahuluan mereka pada minit ke-52 apabila Coman melepasi pertahanan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang deras dari luar kawasan penalti.

 

 

Damac diberikan talian hayat apabila Morlaye Sylla menyempurnakan penalti pada minit ke-58, tetapi tidak mendatangkan sebarang ancaman besar buat tuan rumah.

Ronaldo mengembalikan kelebihan dua gol lima minit kemudian, dengan sepakan percuma yang cantik ke dalam gawang untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Bekas tonggak Manchester United itu terus meledak pada minit ke-81, sekali gus menyaksikan dirinya bercucuran air mata menamatkan penantian tersebut untuk bergelar juara.

Must Watch Video

Advertisement