WASHINGTON :Debat Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) antara Mike Pence dengan pesaingnya, Senator Kamala Harris dari Parti Demokrat di University of Utah di Salt Lake City dilihat berlangsung dalam keadaan yang terkawal tanpa sebarang serangan balas yang bersifat peribadi.

Ini lima tumpuan pusingan debat Naib Presiden AS:

1. Calon mengelak soalan berhubung usia calon Presiden 

Antara isu yang dibangkitkan pada suku pertama perdebatan adalah mengenai soal usia kedua-dua calon Presiden A.S.

Donald Trump yang berusia 74 tahun kini sedang menjalani proses pemulihan daripada jangkitan COVID-19, sementara pesaingnya, Joe Biden pula akan mencecah usia 78 tahun ketika pelantikan, jika ditakdirkan menang.     

Namun demikian, kedua-dua calon mengelak untuk memberi jawapan langsung sebaliknya mengalihkan perbincangan kepada perkara lain.

2. Isu COVID-19 mendominasi debat

Walaupun isu yang sama telah dibincangkan panjang lebar dalam debat antara Trump dan Biden pada 29 September lalu, namun isu yang sama sekali lagi menjadi tumpuan utama.

Kamala menyifatkan tindakan Trump menangani pandemik itu sebagai kegagalan besar dalam sejarah pentadbiran presiden AS. 

Menjawab dakwaan itu, Pence menjelaskan, Trump seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat A.S sebagai agenda utama.

3. Apakah Trump akan menerima keputusan pilihan raya?

Ketika diajukan soalan cepu emas itu, kedua-dua calon sekali lagi dilihat mengambil pendekatan mengelak daripada soalan ini apabila tidak memberi sebarang jawapan yang tepat.

4. Banyak mencelah tetapi kali ini dalam nada sopan 

Tindakan Biden meminta Trump menutup mulut ketika debat lalu bertukar kecoh dan tegang apabila Trump mencelah. Malah serangan mereka dilihat kemudian semakin bersifat peribadi apabila masing-masing mula tuduh-menuduh.

Pada kali ini, meskipun dicelah namun moderator Suzan Page mengambil pendekatan bijak mengawal situasi.

Malah Kamala juga dilihat mempunyai modus operandi sendiri apabila mengingatkan 'Mr Vice President, I'm speaking' apabila dicelah.

5. Kehadiran tetamu tidak diundang

'Tetamu tidak diundang' itu dilihat 'mendarat' atas kepala Pence kira-kira dua minit ketika beliau membincangkan isu wanita kulit hitam, Breonna Taylor yang ditembak mati oleh anggota polis yang menyerbu masuk pangsapurinya, Mac lalu. 

Netizen dilihat memberi pelbagai reaksi melucukan termasuk meminta lalat itu melakukan ujian saringan COVID-19, fly has arrived safely dan Dear Mike, this is how you handle the fly?  

Malah, netizen turut bertindak kreatif dengan membuka akaun baharu atas nama The Fly On Mike Pence's Head.