Apa yang diketahui setakat ini mengenai nahas kereta api terburuk Sepanyol dalam lebih sedekad

Anggota Pengawal Awam Sepanyol bersama petugas kecemasan lain menjalankan operasi di sisi salah sebuah kereta api yang terlibat dalam kemalangan di Cordoba, Sepanyol. - Foto REUTERS
SEKURANG-kurangnya 40 orang terkorban manakala puluhan lagi cedera selepas dua kereta api berkelajuan tinggi bertembung di selatan Sepanyol, menurut pihak berkuasa tempatan.
Insiden berhampiran bandar Córdoba itu disifatkan sebagai kemalangan rel paling buruk di negara tersebut dalam tempoh lebih 10 tahun.
Perdana Menteri Pedro Sánchez melawat lokasi kejadian pada Isnin dan mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.
Berikut ialah perkara yang diketahui setakat ini:
Di mana dan bila kemalangan berlaku?
Kemalangan berlaku sekitar jam 7.45 malam waktu tempatan pada Ahad, kira-kira sejam selepas sebuah tren berlepas dari Málaga menuju ke Madrid.
Pengendali infrastruktur rel Adif memaklumkan tren tersebut tergelincir sebelum melintas ke landasan bertentangan.
Tren itu kemudian bertembung dengan sebuah tren lain yang sedang bergerak dari selatan Madrid ke Huelva.
Menurut Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente, tren yang menuju ke Huelva telah terhumban ke benteng di sisi landasan akibat perlanggaran tersebut.

Kebanyakan mangsa maut dan cedera berada di gerabak hadapan tren ke Huelva.
Apakah punca kemalangan?
Punca sebenar tren tergelincir masih belum dapat dipastikan.
Pihak berkuasa mengesahkan satu siasatan telah dilancarkan, namun keputusan awal tidak dijangka diketahui sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan.
Puente menyifatkan kemalangan itu sebagai “amat pelik”, sambil menyatakan pakar-pakar rel yang dirujuk kerajaan turut “sangat keliru” dengan apa yang berlaku.
Presiden pengendali rel milik kerajaan, Renfe, Álvaro Fernández Heredia berkata kemungkinan kemalangan berpunca daripada kelajuan berlebihan atau kesilapan manusia telah “diketepikan”.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun berlaku kesilapan, sistem keselamatan pada tren sepatutnya dapat membetulkannya, dan kedua-dua tren berada di bawah had laju maksimum di laluan berkenaan.
Faktor kerosakan mekanikal atau masalah infrastruktur kini dianggap lebih berkemungkinan.
Adakah mangsa masih terperangkap?
Dianggarkan sekitar 400 penumpang dan kakitangan berada di atas dua tren yang dikendalikan oleh Iryo dan Renfe.
Tidak jelas sama ada masih terdapat mangsa terperangkap, namun pasukan penyelamat masih berada di lokasi.
Ketua bomba Córdoba, Francisco Carmona, berkata keadaan gerabak yang berpintal menyukarkan kerja menyelamat.
“Logam berpintal bersama orang di dalamnya. Kami terpaksa mengalihkan mayat untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup,” katanya kepada RTVE.
Ketua kerajaan wilayah Andalusia, Juanma Moreno, berkata jentera berat diperlukan untuk mengangkat bahagian tren kedua yang “paling teruk terjejas”, sebelum proses mencari dan mengenal pasti mangsa yang masih belum ditemui dapat dimulakan.

Siapakah mangsa?
Setakat ini, mangsa yang terkorban belum dikenal pasti sepenuhnya dan jumlah kematian masih belum muktamad.
Perkhidmatan kecemasan tempatan memaklumkan 122 orang menerima rawatan perubatan, dengan 48 daripadanya masih dirawat di hospital.
Lima daripada mangsa yang dirawat adalah bawah umur 18 tahun.
Apa kata mangsa terselamat?
Penumpang tren yang menuju ke Madrid menggambarkan detik perlanggaran seperti “gempa bumi”, dengan tingkap pecah, bagasi tercampak dan penumpang terjatuh ke lantai.
“Saya berada di gerabak pertama. Tiba-tiba terasa seperti gempa dan tren benar-benar tergelincir,” kata wartawan Salvador Jimenez kepada Canal Sur.
Seorang lagi penumpang, Lucas Meriako, berkata beliau merasakan hentakan semakin kuat sebelum satu lagi tren melintas dan keseluruhan gerabak bergegar hebat.

Siasatan menyeluruh masih diteruskan ketika negara itu berkabung, dengan pihak berkuasa berikrar untuk mendedahkan punca sebenar tragedi berkenaan dan menilai semula tahap keselamatan sistem rel negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


