APEC 2025: Malaysia seru pemodenan peraturan perdagangan global

Tengku Zafrul berkata ekonomi APEC perlu mengambil peluang daripada transformasi digital dan AI untuk memastikan pertumbuhan yang inklusif dan lestari di seluruh rantau. - Gambar/ MITI
GYEONGJU, Korea Selatan: Malaysia menggesa Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) supaya memodenkan peraturan perdagangan global bagi memanfaatkan sepenuhnya digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) demi pertumbuhan yang lebih inklusif.
Ringkasan AI
- Malaysia menggesa APEC memodenkan peraturan perdagangan global agar selaras dengan era digital dan kecerdasan buatan (AI), bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan lestari di rantau Asia Pasifik.
- Tengku Zafrul menekankan manfaat digitalisasi dalam mempercepat dan memperkasakan perdagangan rentas sempadan, termasuk pengurangan kos transaksi sehingga 15 peratus serta peningkatan penyertaan PMKS, wanita dan belia dalam ekonomi global.
- Malaysia komited terhadap Pelan Tindakan Ekonomi Internet dan Digital APEC (AIDER), serta menyeru agar Perjanjian Pemudahan Perdagangan WTO dimodenkan. Beliau turut menekankan peranan AI dan mineral kritikal sebagai pemangkin rantaian bekalan global yang mampan dan berdaya tahan.
Beliau berkata digitalisasi bukan sahaja menjadikan perdagangan lebih pantas dan pintar, malah perlu lebih adil dan inklusif.
“Apabila teknologi dan kepercayaan bertemu, ekonomi bukan sekadar berkembang, ia maju secara pesat,” katanya.
Merujuk kepada penilaian APEC, Tengku Zafrul berkata kemudahan perdagangan digital telah mengurangkan kos transaksi sehingga 15 peratus, mempercepatkan proses daripada beberapa hari kepada hanya beberapa minit, serta memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), wanita dan belia untuk bersaing di peringkat global.
Beliau turut memaklumkan bahawa perdagangan digital intra-rantau kini menyumbang sekitar AS$2.1 trilion kepada ekonomi APEC.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia terhadap Pelan Tindakan Ekonomi Internet dan Digital APEC (AIDER) yang memperkukuh kerjasama dalam tadbir urus data, keselamatan siber dan pembangunan kapasiti digital.
Langkah ini bertujuan memastikan kemajuan teknologi berpaksikan kepercayaan, keterangkuman dan kebolehoperasian.
Tengku Zafrul turut menyeru agar Perjanjian Pemudahan Perdagangan (TFA) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dimodenkan supaya selaras dengan realiti digital semasa.
“TFA sedia ada, yang dimeterai hampir sedekad lalu, kini tidak lagi mencukupi untuk menangani perdagangan moden yang dipacu dokumentasi digital, invois elektronik dan aliran data rentas sempadan.
“Perdagangan global hari ini bergantung pada sistem dan data yang tidak wujud ketika TFA dibuat. Memodenkan pemudahan perdagangan bukan soal menulis semula peraturan, ia tentang meningkatkan keberkesanan. Jika gagal menyesuaikan diri, kerangka kita berisiko menjadi usang,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan mineral kritikal dan AI sebagai pemangkin utama rantaian bekalan global, serta menyeru WTO dan APEC supaya bekerjasama menetapkan piawaian yang telus, mampan dan berdaya tahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


