DUNIA
Arab Saudi ancam potong kuota haji Indonesia sehingga 50 peratus

Arab Saudi mencadangkan penubuhan pasukan tugas bersama dan berharap pengurusan baharu oleh BP Haji dapat memenuhi standard yang lebih teliti dan profesional. - Gambar/ Bernama
KERAJAAN Arab Saudi memberi amaran keras kepada Indonesia menjelang musim haji 2026 dengan kemungkinan memotong kuota jemaah sehingga 50 peratus berikutan kebimbangan serius terhadap tahap kesihatan jemaah serta pengurusan keseluruhan ibadah haji oleh pihak Indonesia.
Ringkasan AI
- Kerajaan Arab Saudi memberi amaran kemungkinan memotong sehingga 50% kuota jemaah haji Indonesia bagi tahun 2026 kerana kebimbangan terhadap tahap kesihatan jemaah dan kelemahan pengurusan haji.
- Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk kematian jemaah sebelum tiba di Tanah Suci, kelemahan sistem tapisan kesihatan, dan ketidakpatuhan terhadap syarat istitha'ah, iaitu keupayaan fizikal dan mental untuk menunaikan haji.
- Sebagai langkah pembetulan, Arab Saudi mencadangkan penubuhan pasukan tugas bersama dan berharap pengurusan baharu oleh BP Haji dapat memenuhi standard yang lebih teliti dan profesional.
“Kami sedang berunding kerana mulai tahun hadapan, pengurusan haji akan diserahkan sepenuhnya daripada Kementerian Agama kepada BP Haji. Kami sedang menawarkan sistem baharu bagi penambahbaikan pengurusan,” jelasnya kepada media tempatan.
Kerajaan Arab Saudi turut menegur secara terbuka tahap kesihatan jemaah haji Indonesia yang dianggap masih belum memenuhi syarat istitha'ah, iaitu keupayaan fizikal dan mental untuk menunaikan ibadah haji.
Dalam sesi perbincangan itu, wakil Arab Saudi menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap kelemahan sistem tapisan kesihatan jemaah haji Indonesia. Malah, mereka menyelar kematian beberapa jemaah yang berlaku sebelum tiba di Tanah Suci, termasuk insiden kematian semasa dalam penerbangan.
“Ada yang meninggal dunia ketika masih dalam pesawat. Mengapa kamu bawa orang untuk mati di sini?” tegas pegawai Arab Saudi dalam kenyataannya.
Saudi melihat bahawa penilaian kesihatan jemaah belum dilaksanakan secara telus dan menyeluruh, justeru mereka mendesak semakan serta pengesahan data kesihatan yang lebih ketat sebelum jemaah dihantar ke Makkah.
Sebagai langkah pembetulan, kerajaan Arab Saudi mencadangkan penubuhan pasukan tugas bersama antara Indonesia dan Arab Saudi bagi memantau dan menyemak keseluruhan proses pengurusan haji. Penekanan utama diberikan kepada aspek kesihatan, penerbangan, penginapan, dan logistik.
Isyarat keras ini menjadi peringatan kepada pihak berkuasa Indonesia agar melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem penyelenggaraan ibadah haji yang digunakan selama ini.
Dengan peralihan pengurusan haji kepada BP Haji mulai tahun hadapan, kerajaan Arab Saudi berharap agar Indonesia dapat menyesuaikan diri dengan standard baharu yang lebih teliti dan profesional.
“Ini merupakan masa untuk kita melakukan penilaian semula secara menyeluruh. Bukan sekadar soal kuota, tetapi kualiti keseluruhan pengurusan,” tegas Gus Irfan.
Pihak BP Haji menyatakan komitmen untuk melaksanakan cadangan Arab Saudi secara serius demi memastikan kuota haji bagi jemaah Indonesia kekal terjamin dan ibadah haji dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih tersusun dan berperikemanusiaan. - Sinar Harian/ Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami