Skip to main content

Dunia

Tiga pemimpin gereja maut, beberapa lagi cedera di Manipur, India

51748327023_TBpoliceline.jpg
Tiga pemimpin gereja maut dalam satu serang hendap di negeri Manipur di timur laut India yang dilanda keganasan pada Rabu. - Foto hiasan

HYDERABAD: Tiga pemimpin gereja maut dalam satu serang hendap di negeri Manipur di timur laut India yang dilanda keganasan pada Rabu.

Mangsa diserang ketika sedang dalam perjalanan dengan dua kenderaan menuju ke Kangpokpi selepas menghadiri satu persidangan di bandar Lamka dalam daerah Churachandpur, lapor media tempatan.

โ€œSaya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan kejam oleh penjenayah bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang awam pagi ini di antara kawasan Kotlen dan Kotzim di daerah Kangpokpi sehingga mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan empat yang lain,โ€ kata Ketua Menteri Manipur Yumnam Khemchand Singh dalam satu kenyataan.

Pertubuhan etnik Kuki Organisation for Human Rights Trust (KOHUR) berkata pemimpin gereja berkenaan merupakan sebahagian daripada delegasi paderi kanan daripada Thadou Baptist Association dan United Baptist Council yang dalam perjalanan menghadiri mesyuarat antara persatuan.

Kuki Students' Organisation (KSO) di Churachandpur mengumumkan penutupan tanpa tempoh yang ditetapkan pada Rabu susulan pembunuhan itu.

Kuki Inpi Manipur, badan induk masyarakat Kuki, dalam satu kenyataan menyifatkan serang hendap itu sebagai โ€œpengecut dan kejamโ€ serta menuntut siasatan dijalankan.

Manipur yang bersempadan dengan Myanmar masih belum pulih daripada konflik etnik yang tercetus pada Mei 2023 antara komuniti Meitei dan puak Kuki berhubung keistimewaan dalam pekerjaan kerajaan, pendidikan dan akses kepada tanah hutan.

Masyarakat Meitei di Manipur kebanyakannya beragama Hindu dan mendominasi Lembah Imphal manakala komuniti Kuki dan Naga majoritinya beragama Kristian dan kebanyakannya tinggal di kawasan perbukitan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video