Skip to main content

Dunia

Arab Saudi, Kuwait tarik balik sekatan akses tentera AS ke pangkalan, ruang udara

U.S. President Donald Trump speaks during an event to mark Military Mother's Day, in the East Room at the White House in Washington, D.C., U.S., May 6, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Langkah itu dilihat dapat membantu usaha Presiden Donald Trump memastikan laluan perkapalan komersial melalui selat strategik berkenaan kembali selamat. - Gambar/ Reuters

WASHINGTON: Arab Saudi dan Kuwait menarik balik sekatan terhadap akses tentera Amerika Syarikat (AS) ke pangkalan serta ruang udara mereka, yang sebelum ini dikenakan selepas Washington melancarkan operasi untuk membuka semula Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Wall Street Journal.

Langkah itu dilihat dapat membantu usaha Presiden Donald Trump memastikan laluan perkapalan komersial melalui selat strategik berkenaan kembali selamat, ketika ketegangan membabitkan Iran terus memuncak.

Memetik pegawai AS dan Arab Saudi, akhbar itu melaporkan pentadbiran Trump sedang bersedia untuk menyambung semula operasi mengiringi kapal komersial yang melalui Selat Hormuz, dengan sokongan tentera laut dan udara AS.

Misi itu dilaporkan dihentikan sementara awal minggu ini selepas beroperasi selama 36 jam.

Perancang Pentagon kini menilai garis masa yang sesuai untuk menyambung semula operasi berkenaan, manakala beberapa pegawai AS berkata ia mungkin dimulakan seawal minggu ini, menurut laporan itu.

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu Amerika di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan persetujuan berkekalan. Gencatan itu kemudian dilanjutkan Trump tanpa menetapkan tarikh akhir.

AS menguatkuasakan sekatan laut terhadap trafik maritim Iran di selat itu sejak 13 April.

Trump pada Selasa mengumumkan tentera AS akan menghentikan sementara “Project Freedom”, iaitu usaha memulihkan kebebasan pelayaran kapal komersial melalui Selat Hormuz, namun berkata sekatan laut Amerika akan kekal “berkuat kuasa sepenuhnya.”

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video