DUNIA
Arab Saudi lancar pakatan antarabangsa, sumbang AS$90 juta sokong Palestin

Putera Faisal bin Farhan mengumumkan penubuhan International Coalition to Financially Support the Palestinian Authority dengan Kerajaan Arab Saudi menyumbang sebanyak AS$90 juta (RM380 juta). - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan mengumumkan penubuhan International Coalition to Financially Support the Palestinian Authority dengan Kerajaan Arab Saudi menyumbang sebanyak AS$90 juta (RM380 juta).
Beliau berkata, Arab Saudi kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang di Gaza.
Dalam sidang media bersama Menteri-Menteri luar termasuk Mesir, Jordan, Sepanyol, Norway dan beberapa negara lain di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Putera Faisal menegaskan, pakatan itu akan membina hala tuju jelas serta mewujudkan mekanisme berkesan bagi menyokong rakyat Palestin.
“Penyelesaian dua negara akan memastikan keselamatan dan keamanan di rantau ini,” katanya.Beliau turut memaklumkan, setakat ini, sebanyak 159 negara telah mengiktiraf negara Palestin.
“Kewujudan negara Palestin kini menjadi hakikat yang tidak boleh diputar balik dengan sokongan antarabangsa yang semakin meningkat,” ujarnya.
Putera Faisal menambah, mesyuarat antarabangsa terbaharu itu memberi tumpuan untuk menterjemahkan Deklarasi New York kepada pelan pelaksanaan yang menyokong penghentian perang, memastikan perpaduan Tebing Barat dan Gaza, serta memperkasa Pihak Berkuasa Palestin.
“Kami berbesar hati kerana Washington turut memberi tumpuan kepada usaha menamatkan perang di Gaza, yang selaras dengan penubuhan negara Palestin,” katanya lagi. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami