ISTANBUL: Arab Saudi dan Lubnan pada Khamis mendesak serangan Israel terhadap Lubnan dihentikan sepenuhnya, menurut Kementerian Luar Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi.
Menerusi perbualan telefon, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan dan Speaker Parlimen Lubnan Nabih Berri membincangkan perkembangan di Lubnan serta usaha berterusan untuk menghentikan serangan Israel, menurut kementerian itu.
Advertisement
Putera Faisal mengesahkan semula sokongan Arab Saudi terhadap kestabilan Lubnan dan usaha memperkukuh institusi negara itu.
Berri pula memuji peranan kerajaan Arab Saudi serta usaha berterusan negara itu dalam menyokong dan memelihara keselamatan Lubnan serta rantau berkenaan.
Beliau turut menegaskan komitmen Lubnan terhadap Perjanjian Taif 1989 dan menolak sebarang tindakan yang mengancam Arab Saudi, menurut kenyataan itu.
Panggilan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata Israel dan Lubnan bersetuju melanjutkan gencatan senjata selama tiga minggu susulan rundingan terbaharu antara kedua-dua pihak.
-- BERNAMA-ANADOLU