KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menzahirkan ucapan selamat ulang tahun keputeraan kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga Allah SWT merahmati Sultan Brunei dengan kebahagiaan dan melanjutkan usia baginda.
Sultan Hassanal Bolkiah diputerakan pada 15 Julai 1946 di Bandar Brunei (Bandar Seri Begawan) dan ditabalkan sebagai Sultan Brunei ke-29 pada 1967.
Baginda merupakan pemerintah monarki yang paling lama masih bertakhta di dunia, selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II pada Sept 2022.
-- BERNAMA