DAVOS: Arab Saudi sedia mengiktiraf Israel sekiranya persetujuan menyeluruh dicapai termasuk kenegaraan untuk Palestin - perbincangan yang disifatkan bercita-cita tinggi ketika perang antara Israel dan Hamas tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

"Kami bersetuju bahawa keamanan serantau termasuk keamanan untuk Israel, tetapi itu hanya boleh berlaku melalui keamanan untuk Palestin melalui penubuhan negara Palestin," kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan di Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung di sini, pada Selasa.

Ditanya sama ada Arab Saudi akan mengiktiraf Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian politik yang lebih luas, beliau berkata: "Sudah tentu."

Putera Faisal berkata, untuk mendapatkan keamanan serantau melalui penubuhan negara Palestin adalah "sesuatu yang telah kami usahakan dengan pentadbiran AS (Amerika Syarikat) dan ia lebih relevan dalam konteks Gaza."

Mendapatkan perjanjian normalisasi dengan Arab Saudi akan menjadi ganjaran utama bagi Israel selepas ia menjalin hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi selain boleh mengubah geopolitik Timur Tengah.

Arab Saudi yang berpegang kepada ajaran Sunni sebagai negara paling berkuasa di dunia Arab dan tuan rumah kepada tanah paling suci dalam Islam, mempunyai pengaruh agama yang besar di seluruh dunia.

Selepas meletusnya perang Oktober lalu antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas yang memerintah Gaza, Arab Saudi menggariskan rancangan yang disokong AS untuk kerajaan itu  menormalkan hubungan dengan Israel.

Dua sumber yang rapat dengan Riyadh berkata, keutamaan yang diberikan dalam rancangan itu ialah menyusun semula hubungan diplomatik dua negara berkenaan.

Kedua-dua sumber itu memberitahu Reuters, akan berlaku sedikit kelewatan dalam rundingan yang disokong AS berhubung normalisasi hubungan Saudi-Israel, yang dilihat sebagai langkah penting bagi kerajaan itu untuk mendapatkan apa yang dianggapnya sebagai ganjaran sebenar pakatan pertahanan AS sebagai pertukaran.

Rakyat Palestin

Sebelum 7 Oktober, apabila pejuang Hamas yang disokong Iran melancarkan serangan ke atas Israel selatan, kedua-dua pemimpin Israel dan Saudi telah memberi isyarat bahawa mereka sedang bergerak secara berterusan ke arah mewujudkan hubungan diplomatik yang boleh membentuk semula Asia Barat.

Palestin mahukan sebuah negara di wilayah yang ditawan oleh Israel dalam perang 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota mereka.

Rundingan yang disokong oleh AS dengan Israel untuk mencapai matlamat tersebut, bagaimanapun, terhenti lebih sedekad lalu.

Antara halangannya ialah penempatan Israel di tanah yang diduduki dan pertelingkahan antara pihak berkuasa Palestin yang disokong barat dan Hamas yang menolak untuk hidup bersama-sama dengan Israel.

"Terdapat laluan ke arah masa depan yang lebih baik untuk rantau ini, untuk rakyat Palestin, dan untuk Israel, iaitu perdamaian dan kami komited sepenuhnya ke arah itu," kata Putera Faisal lagi.

“Gencatan senjata di semua pihak seharusnya menjadi titik permulaan untuk keamanan mampan kekal, yang hanya boleh berlaku melalui keadilan kepada rakyat Palestin.”

Kerajaan Israel telah mengecilkan prospek untuk membuat konsesi signifikan kepada Palestin sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian normalisasi yang berpotensi dengan Arab Saudi.

Peperangan di Gaza bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023 dan membunuh 1,200 orang serta menawan 240 tebusan.

Israel mendakwa, sehingga kini, terdapat lebih 130 masih dalam tawanan.

Israel bertindak balas terhadap serangan Hamas dengan pengepungan, pengeboman dan pencerobohan darat ke atas Gaza yang telah memusnahkan wilayah pantai kecil itu dan membunuh lebih 24,000 orang, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Perang itu telah mencetuskan kebimbangan berhubung ketidakstabilan serantau yang lebih luas.
Pasukan pejuang Hezbollah yang disokong Iran dan Lubnan pula sering bertempur di sepanjang sempadan dengan Israel, manakala pasukan pejuang pro-Iran telah menyerang sasaran AS di Iraq.

Dalam masa sama, serangan oleh Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman telah mengganggu laluan perkapalan di Laut Merah dan mereka mendakwa, tidak akan berhenti sehingga Israel menghentikan pengeboman ke atas Gaza. - Reuters