DUNIA
Arab Saudi umum pelaburan AS$6.4 bilion di Syria

Forum Pelaburan Saudi-Syria di Damsyik pada Khamis menterjemahkan,komitmen kukuh Arab Saudi dalam memperkukuh landskap kewangan Syria.
DAMSYIK : Arab Saudi mengumumkan pelaburan besar berjumlah AS$6.4 bilion di Syria, menandakan pengukuhan hubungan dengan kerajaan sementara yang diterajui Presiden Interim Ahmed al-Sharaa dalam usaha membina semula negara itu selepas 14 tahun dilanda perang saudara.
Pengumuman dibuat oleh Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid Al-Falih semasa Forum Pelaburan Saudi-Syria di Damsyik, sekali gus memberi suntikan kewangan yang signifikan kepada pentadbiran Sharaa yang masih bergelut untuk menstabilkan negara selepas tercetusnya semula keganasan di barat daya Syria bulan ini.
Al-Falih berkata, lawatannya ke Syria adalah atas arahan Putera Mahkota Arab Saudi merangkap pemerintah de facto, Mohammed bin Salman, sebagai bukti sokongan kukuh Riyadh terhadap “Syria yang bersaudara.”
Pelaburan yang diumumkan merangkumi AS$2.93 bilion dalam sektor hartanah dan infrastruktur serta AS$1.07 bilion untuk sektor telekomunikasi dan teknologi maklumat.Antara syarikat yang terlibat ialah Saudi Telecom Company (STC), GO Telecom, syarikat keselamatan digital Elm, firma keselamatan siber Cipher, dan syarikat teknologi pendidikan Classera.
Sebanyak 47 perjanjian dan memorandum persefahaman dijangka ditandatangani sepanjang forum tersebut, melibatkan penyertaan lebih 100 syarikat, menurut Al-Falih.
Beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Perniagaan Saudi-Syria, sebuah platform yang dijangka memperkukuh hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Forum itu sebelum ini dijadualkan berlangsung pada bulan Jun namun tertangguh akibat konflik antara Iran dan Israel.
Riyadh dilihat sebagai sekutu penting kepada kerajaan Sharaa, yang mengambil alih kuasa selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad pada Disember lalu.
Arab Saudi juga menggunakan pengaruh diplomatiknya bagi meyakinkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menarik balik sekatan ke atas Syria.
Syarikat-syarikat dari negara Teluk dan Turkiye kini menunjukkan minat untuk membantu membina semula keupayaan tenaga, jalan raya, pelabuhan dan infrastruktur utama Syria yang musnah akibat perang.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Syria turut memeterai perjanjian tenaga bernilai AS$7 bilion dengan Qatar dan kontrak pelabuhan AS$800 juta dengan syarikat berpangkalan di UAE, DP World.
Beberapa syarikat tenaga dari Amerika Syarikat turut dijangka terlibat dalam penyediaan pelan induk pembangunan semula sektor tenaga negara itu.
Pada April lalu, Arab Saudi dan Qatar mengumumkan komitmen mereka untuk melunaskan tunggakan hutang Syria kepada Bank Dunia, sekali gus membuka laluan kepada pinjaman baharu bagi menyokong proses pemulihan semula negara. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami