DUNIA
ARF perlu lebih responsif tangani cabaran keselamatan di Asia Pasifik - Tok Mat

Mohamad berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 melihat peningkatan ketegangan di laluan maritim utama, yang boleh mengakibatkan salah perhitungan dalam membuat keputusan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kumpulan 27 negara di bawah Forum Serantau ASEAN (ARF), yang dipimpin ASEAN, perlu lebih tangkas dalam bertindak balas terhadap cabaran keselamatan yang semakin menekan di rantau ini.
Ringkasan AI
- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menyeru Forum Serantau ASEAN (ARF) agar lebih tangkas dan berkesan dalam menangani cabaran keselamatan seperti ketegangan maritim, ancaman siber, dan kesan perubahan iklim yang semakin mendesak.
- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan keperluan ARF untuk beralih daripada dialog kepada tindakan melalui sistem amaran awal, tindak balas krisis, dan kerjasama dalam bidang keselamatan maritim, keganasan, dan kesiapsiagaan bencana.
- Beliau turut menyeru agar negara peserta memperkukuh komitmen terhadap prinsip dialog, konsensus dan saling menghormati, serta memperkuat ARF sebagai kuasa penstabil dalam menangani isu serantau dan antarabangsa.
Perubahan iklim, yang dahulunya dianggap sebagai risiko jauh, tambah beliau lagi, kini membawa pelbagai ancaman yang memburukkan ketidakamanan dan menyebabkan pemindahan komuniti.
“ARF mesti lebih bersedia untuk bertindak balas dengan pantas dan berkesan. Selain dialog, ia harus memainkan peranan yang lebih kukuh dalam sistem amaran awal dan tindak balas, terutamanya dalam krisis kemanusiaan, kecemasan kesihatan, dan pencegahan konflik.
“Kita mesti bergerak daripada dialog kepada tindakan. Jurang antara cita-cita dan pelaksanaan mesti ditutup. Malaysia menyeru kerjasama yang lebih kukuh melalui projek bersama dalam bidang utama seperti keselamatan maritim, memerangi keganasan, dan kesiapsiagaan bencana, serta penyelarasan yang lebih baik dengan platform ASEAN yang lain,” katanya lagi.
Katanya lagi, semua pihak harus menyedari tentang kekuatan ARF terletak pada sifat inklusifnya - menyatukan 27 peserta dengan perspektif yang pelbagai.
Mohamad berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan Forum ASEAN Serantau ke-32 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.
ARF ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai platform utama untuk dialog dan kerjasama dalam isu keselamatan di rantau Asia-Pasifik.
Ia dipimpin oleh ASEAN dan merangkumi 27 negara peserta, termasuk negara-negara ASEAN serta rakan dialog seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Jepun, India, dan Kesatuan Eropah.
ARF berfungsi sebagai ruang untuk negara-negara dengan kepentingan yang berbeza berkongsi pandangan, membina persefahaman, dan bekerjasama dalam isu seperti keselamatan maritim, ancaman siber, keganasan rentas sempadan, dan bantuan kemanusiaan.
Dalam pada itu Mohamad berkata, negara peserta perlu memperbaharui komitmen terhadap dialog, konsensus, dan saling menghormati.
Prinsip tersebut, katanya lagi, mampu memberi garis panduan dalam menangani perbezaan dan mengekalkan kestabilan, walaupun dalam masa yang mencabar.
“Bersama-sama, kita mesti memperkukuh ARF sebagai satu kuasa penstabil - sebuah forum di mana kepercayaan dipupuk, perbezaan diuruskan, dan perkongsian diperkukuhkan.
“Mesyuarat ini memberikan peluang yang amat berharga untuk kita menilai kemajuan ARF, merenung cabaran yang dihadapi, dan bersama-sama merangka hala tuju ke hadapan.
“Ia juga menyediakan platform untuk kita bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mendesak dan menjadi kebimbangan bersama,” katanya lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami