Skip to main content

Dunia

ASEAN adakan mesyuarat di Manila bincang tindak balas bencana keselamatan

51733761387_ASEANflag.jpg
Pegawai kanan pertahanan ASEAN dan negara rakan berkumpul di Manila bagi memperkukuh kerjasama dalam bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana (HADR). - Gambar fail

MANILA: Pegawai kanan pertahanan ASEAN dan negara rakan berkumpul di Manila bagi memperkukuh kerjasama dalam bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana (HADR) di samping menangani cabaran keselamatan serantau yang muncul, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Jabatan Pertahanan Negara (DND) memaklumkan bahawa Filipina, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN-Campur (ADSOM-Campur) dari 30 hingga 31 Mac.

Advertisement

Mesyuarat itu menghimpunkan wakil dari negara anggota ASEAN dan "Negara Campur" -- Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.

Penolong Setiausaha DND bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Marita Yoro mempengerusikan mesyuarat itu atas kapasiti beliau sebagai Ketua Kumpulan Kerja ADSOM-Campur.

"Perbincangan tertumpu kepada kemajuan kerjasama di bawah Kumpulan Kerja Pakar (EWG) Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Campur bagi kitaran 2024 - 2027. 

"Kemas kini dibentangkan merangkumi bidang utama bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana, keselamatan maritim, perubatan ketenteraan, pencegahan keganasan, operasi pengamanan, tindakan periuk api untuk kemanusiaan  dan keselamatan siber," menurut DND.

Agensi itu menyatakan bahawa perbincangan berkenaan menekankan dorongan berterusan untuk kerjasama praktikal dan berorientasikan tindakan bagi menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Yoro menekankan keperluan untuk mengekalkan kerjasama pertahanan diterajui ASEAN di tengah-tengah landskap geopolitik yang berubah-ubah.

"Ketika kita berkumpul hari ini di tengah-tengah jurang geopolitik yang semakin melebar dan persaingan strategik yang semakin meruncing, usaha serantau mesti kekal berpandukan paksi keamanan dan keselamatan yang dibina atas pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, dialog tulen dan kerjasama untuk kepentingan semua," katanya.

Beliau turut menyeru kepada perpaduan dan orde antarabangsa berasaskan peraturan, serta menggesa kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota.

Mesyuarat itu mengesahkan komitmen Filipina untuk memperkukuh pemusatan ASEAN  dan memperdalam penglibatan dengan rakan dialog melalui platform ADMM-Campur.

Para pegawai juga membincangkan kebimbangan yang muncul, termasuk perlindungan infrastruktur bawah air yang kritikal, tindak balas terhadap ancaman kimia, biologi dan radiologi, serta penyesuaian terhadap teknologi baharu.

Di luar mesyuarat, Yoro bertemu dengan rakan sejawat dari negara rakan untuk meneroka kerjasama lanjut dan menyelaras tindak balas terhadap isu keselamatan serantau dan global.

Dalam kenyataan berasingan, Yoro menegaskan peranan ASEAN dalam mengekalkan kestabilan serantau.

"ASEAN kekal sebagai satu-satunya institusi berdaya maju yang boleh memegang peranan sebagai pusat, di mana kita diingatkan tentang kepentingan dialog yang mampan dan berprinsip, komitmen terhadap penglibatan yang aman dan membina, serta rasa tanggungjawab bersama  dan berkekalan yang harus membimbing usaha kolektif kita," katanya.

Yoro turut menyatakan bahawa ADMM tahun ini adalah signifikan memandangkan ASEAN menyambut ulang tahun ke-20 Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), mercu tanda yang mencerminkan kerjasama serantau selama beberapa dekad.

-- BERNAMA-PNA

 

 

Must Watch Video