ASEAN diharap jadi platform perkukuh hubungan Thailand-Kemboja, keamanan Myanmar

Sihasak, yang dilantik ke jawatan itu pada 19 Sept lepas, menekankan kepentingan mekanisme dan perpaduan ASEAN dalam mendepani cabaran bersama. - Foto BERNAMA
SEPANG: Thailand berharap Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan menjadi platform untuk memajukan dialog keamanan dengan Myanmar serta memuktamadkan rundingan dengan Kemboja bagi memperkukuh hubungan dua hala, kata Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow.
"Bagi Thailand, kami berharap dapat memuktamadkan sesuatu dengan Kemboja bagi menangani situasi semasa agar hubungan kedua-dua negara dapat diteruskan dengan lebih baik. Itu adalah antara harapan kami.
"Saya yakin situasi di Myanmar akan menjadi antara topik utama perbincangan memandangkan mereka bakal mengadakan pilihan raya tahun ini. Sudah tentu kami ingin melihat pilihan raya yang boleh dipercayai dan membawa kepada keamanan.
"Jadi, kami akan membincangkan semua isu itu,"," katanya kepada Bernama sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Sihasak, yang dilantik ke jawatan itu pada 19 Sept lepas, menekankan kepentingan mekanisme dan perpaduan ASEAN dalam mendepani cabaran bersama.
"Sidang kemuncak ini berlangsung dalam situasi dunia yang penuh dengan cabaran. Jadi, dalam kalangan negara anggota ASEAN, kita perlu siap siaga mendepani setiap cabaran.
"Jadi, kita ingin melihat bagaimana kita boleh perkukuhkan ASEAN, mekanisme ASEAN, dengan cara ASEAN," katanya.
Pada 28 Julai lepas, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sepanjang sempadan bersama kedua-dua negara.
Gencatan senjata itu, yang dilihat secara meluas sebagai pencapaian besar ASEAN, telah menghalang konflik ketenteraan daripada menjadi lebih serius serta menjamin keselamatan ribuan orang awam.
Krisis Myanmar menimbulkan cabaran kompleks dan berbilang dimensi kerana perang saudara di beberapa wilayah negara itu melibatkan kira-kira 20 kumpulan etnik bersenjata yang berjuang untuk kemerdekaan sejak 1948. Myanmar mempunyai kira-kira 135 kumpulan etnik.
Malaysia, yang menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan" akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967 selepas menyandangnya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


