CEBU: Konflik berterusan di Asia Barat kini memberi tekanan langsung kepada keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi ASEAN.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theresa Lazaro berkata, ASEAN yang mengimport kira-kira 66 peratus minyak mentah kini berdepan peningkatan ketara kos bahan api dan tenaga susulan krisis berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan kenaikan harga input pertanian, makanan dan barangan asas selain menjejaskan sektor pengangkutan serta pelancongan.
“Perkembangan di luar rantau boleh memberi kesan segera dan mendalam kepada ASEAN,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, di sini, pada Khamis.
Susulan krisis itu, beliau berkata, Filipina terpaksa mengisytiharkan darurat tenaga nasional pada 24 Mac lalu, sekali gus memaksa beberapa mesyuarat ASEAN tahun ini diadakan secara maya serta mengurangkan skala sidang fizikal.
Lazaro berkata, ASEAN turut mengadakan dua mesyuarat khas menteri luar bagi menyelaras tindak balas kolektif terhadap kesan konflik Asia Barat.
Tambah beliau, pengalaman itu menunjukkan ASEAN perlu memperkukuh koordinasi krisis dan kesiapsiagaan institusi bagi menghadapi cabaran geopolitik global.
Dalam masa sama, beliau berkata, ASEAN tetap komited meneruskan agenda pembinaan komuniti serantau termasuk proses integrasi Timor-Leste serta usaha menangani krisis Myanmar melalui Konsensus Lima Perkara.