Skip to main content

Malaysia

PM Anwar mahu mahasiswa main peranan bawa kemajuan, pembaharuan negara

KUALA LUMPUR, 10 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tujuh, kiri) bergambar bersama mahasiswa yang menerima Manfaat Bantuan IPT pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya hari ini.  Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan (enam, kiri) dan Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Raveendran Nair (enam, kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama mahasiswa India di Universiti Malaya. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Mahasiswa perlu terus memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan yang membawa kemajuan dan pembaharuan kepada negara berlandaskan ilmu, nilai serta kematangan pemikiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka merupakan sumber kekuatan baharu yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, sekali gus menolak politik perkauman sempit yang hanya memecahbelahkan masyarakat serta menggugat keharmonian negara.

"Natijahnya, masa depan Malaysia bergantung pada keberanian dan kesediaan generasi muda untuk meruntuhkan tembok perkauman dalam politik picisan, seterusnya membina sebuah negara yang lebih bersatu, stabil dan berdaya maju," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan prinsip keadilan sosial yang menjamin kebelaan dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

"Konsep Malaysia MADANI yang kita dukung memberikan penekanan terhadap nilai ihsan, keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat merentasi batas kaum dan agama," kata beliau.

Anwar berkata perkara itu beliau tekankan ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama mahasiswa India di Universiti Malaya.

“Dalam majlis tersebut, saya turut mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan tahun ini meningkat kepada RM150 juta bagi memperkasakan dan membantu masyarakat India yang miskin serta terpinggir,” kata beliau.

  -- BERNAMA

 

Must Watch Video