INTERNATIONAL
ASEAN perlu perkukuh integrasi, perluas potensi tenaga boleh diperbaharui - Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata visi tersebut mampu direalisasikan menerusi pelaksanaan rangkaian Grid Kuasa ASEAN (APG).
KUALA LUMPUR: ASEAN perlu terus memperkukuhkan integrasi fizikal dan institusi dalam usaha memperluas potensi tenaga boleh diperbaharui.
Ringkasan AI
- ASEAN perlu memperkukuh sambungan tenaga melalui Grid Kuasa ASEAN (APG) untuk manfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui yang tidak sekata di rantau ini.
- Perdagangan tenaga rentas sempadan seperti projek LTMS-PIP dan pertukaran elektrik hijau Malaysia-Singapura membuktikan kerjasama serantau berjaya dilaksanakan.
- Malaysia komited memimpin usaha tenaga hijau ASEAN dengan membangunkan sistem tenaga yang pintar, fleksibel dan bersepadu.
“APG merupakan teras kepada visi ini. Dengan tujuh sambungan yang telah beroperasi dan beberapa lagi dalam perancangan, perdagangan tenaga rentas sempadan bukan sahaja boleh dilaksanakan malah memberi manfaat bersama.
“Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) adalah contoh terbaik bagi perdagangan elektrik pelbagai hala dapat direalisasikan, membolehkan negara bekerjasama membekalkan tenaga boleh baharu merentasi sempadan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian dalam ucaptama pada Mesyuarat Peralihan Tenaga di ASEAN: Memupuk Kerjasama Serantau anjuran MyDigital di Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut beliau lagi, saranan itu dibuat selepas mengambil kira kepelbagaian sumber tenaga boleh diperbaharui di rantau ASEAN yang agihannya ketika ini disifatkan tidak sekata.
ASEAN dengan populasi hampir 700 juta orang adalah pengguna tenaga keempat terbesar dunia dengan permintaan di rantau ini meningkat kira-kira tiga peratus setahun sejak dua dekad lalu.
Jumlah itu melebihi paras purata global, selain Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menjangkakan permintaan tenaga di ASEAN akan meningkat lebih 60 peratus menjelang 2040, jika trend semasa berterusan.
“Malaysia menyokong penuh rangka kerja ASEAN yang menyeluruh bagi atribut hijau, selaras amalan terbaik antarabangsa, memperkukuh kredibiliti serta memudah cara perolehan tenaga bersih oleh sektor korporat.
“Perkara ini akan menjadi antara fokus dan keutamaan Malaysia sepanjang tempoh Pengerusi ASEAN, dengan tumpuan memajukan rangka kerja serantau bagi kebolehoperasian REC," katanya.
Ketika ini, Malaysia juga giat memperluas pertukaran tenaga dua hala, termasuk bersama Indonesia, Singapura dan Thailand.
Tambah beliau, pencapaian penting telah dicapai pada 13 Disember 2024 apabila Malaysia memulakan perdagangan elektrik hijau rentas sempadan yang pertama dengan Singapura melalui ENEGEM (Energy Exchange Malaysia).
“Dalam tempoh hanya 148 hari, lebih 107 TWh elektrik hijau yang dijana daripada tenaga suria dan hidro telah berjaya disalurkan merentasi Tambak ke Singapura. Inisiatif sebegini membuktikan bahawa sistem tenaga ASEAN yang pintar, fleksibel dan bersepadu malah sedang berkembang dan lebih tersusun,” katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami