DUNIA
ASEAN tubuhkan inisiatif keselamatan AI

Dr Kao berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen rantau ini untuk menerapkan prinsip kepercayaan, ketelusan dan akauntabiliti dalam pembangunan AI. - Gambar ASEAN
JAKARTA: ASEAN, di bawah kepengerusian Malaysia ketika ini menubuhkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI Safe) bagi menggalakkan inovasi beretika, menginstitusikan protokol keselamatan serta mempererat kerjasama serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Setiausaha Agung ASEAN Datuk Dr Kao Kim Hourn berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen rantau ini untuk menerapkan prinsip kepercayaan, ketelusan dan akauntabiliti dalam pembangunan AI.
Berucap pada Persidangan Dunia Kecerdasan Buatan (WAIC) di Shanghai pada Sabtu, Kao menyatakan bahawa ASEAN bersedia bekerjasama rapat dengan China melalui Pelan Kerja Digital ASEAN-China 2025 untuk membina perkongsian AI yang berdaya tahan dan saksama.
Beliau turut memberi amaran bahawa meskipun AI membawa kecekapan, ia juga mengundang risiko serius memandangkan agen AI autonomi dan teknologi generatif tidak memiliki pertimbangan etika serta terdedah kepada bias, manipulasi dan kesan sampingan yang tidak disengajakan."AI generatif memperhebat ancaman seperti penyebaran maklumat palsu, penciptaan "deepfake" dan pelanggaran keselamatan siber," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat ASEAN.
Menurut Kao, tanpa tadbir urus yang betul, perkembangan itu berisiko meningkatkan jurang ketidaksamaan dan menghakis privasi.
Justeru, beliau menggesa kerjasama antarabangsa segera bagi memastikan AI dimanfaatkan demi kesejahteraan manusia.
Beliau turut mengalu-alukan pelancaran Pusat AI China-ASEAN yang bertujuan menyokong penggunaan AI secara bertanggungjawab di rantau ini, serta menekankan peranan Akademi Digital China-ASEAN sebagai usaha penting merapatkan jurang kemahiran digital menerusi latihan dan penyediaan alat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti kurang mendapat perkhidmatan.
Kao menyeru kerajaan, industri dan institusi akademik untuk berganding bahu dalam membentuk masa depan AI yang inklusif, beretika dan mampan.
"Haluan kita jelas: membuka ruang kerjasama baharu, menjana pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang merentasi ASEAN, China dan seterusnya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami