DUNIA
ASEAN+3, benteng penting kestabilan serantau di tengah ketegangan global

Mohamad berkata, peningkatan unilateralisme dan nasionalisme telah meminggirkan prinsip-prinsip multilateralisme yang menjadi asas kepada ketetapan dunia yang stabil dan inklusif. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN+3 (APT) perlu kekal menjadi benteng kestabilan dan platform diplomasi berasaskan multilateralisme dalam menghadapi tekanan geopolitik, persaingan kuasa besar dan ancaman rentas sempadan yang semakin meruncing di Asia Timur.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Malaysia menegaskan ASEAN3 perlu kekal sebagai benteng kestabilan dan platform diplomasi multilateralisme dalam menghadapi tekanan geopolitik, persaingan kuasa besar dan ancaman rentas sempadan di Asia Timur.
- ASEAN3 yang ditubuhkan pada 1997 telah berkembang menjadi kerangka kerjasama yang mampan, dengan pencapaian termasuk pengukuhan rantaian bekalan, pembangunan ekosistem kenderaan elektrik dan pelaksanaan kemudahan pembiayaan pantas di bawah Inisiatif Chiang Mai.
- Gabungan penduduk lebih 2.28 bilion dan KDNK USD29.33 trilion meletakkan tanggungjawab besar kepada ASEAN3 untuk mempertahankan kestabilan, memperkukuh kerjasama dan menyokong transformasi digital, teknologi hijau serta pemerkasaan modal insan.
“Mesyuarat kita hari ini mengesahkan semula komitmen bersama untuk terus memperkukuh kerjasama ASEAN+3 sebagai pemacu utama kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Timur.
“Dalam keadaan semasa yang semakin kompleks di peringkat serantau dan global, kewujudan platform yang menggalakkan dialog dan kerjasama seperti ini menjadi semakin penting,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam ucapan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN+3 ke-26, yang turut dihadiri Menteri Luar Jepun, Iwaya Takeshi, Menteri Luar China, Wang Yi dan Timbalan Menteri Luar Korea Selatan, Park Yoonjoo, di ibu negara, pada Khamis.
Selain itu, Mohamad berkata, ASEAN+3 yang ditubuhkan pada 1997 telah berkembang menjadi salah satu rangka kerjasama paling mampan di rantau ini.
Tambahnya ia bukan sahaja dalam menghadapi krisis, tetapi juga dalam memperkukuh keamanan jangka panjang.
“ASEAN+3 kini telah berkembang menjadi salah satu kerangka kerjasama yang paling teguh dan mampan di rantau ini, lambang semangat berpasukan yang dinamik, boleh dipercayai dan cekap menangani realiti serantau yang kompleks.
“Ia juga membolehkan kita berunding, menyelaras dan bekerjasama secara konsisten, satu pendekatan yang semakin relevan dalam dunia yang sedang berdepan dengan perubahan dalam landskap keselamatan dan ekonomi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Mohamad turut menyambut baik pencapaian ASEAN+3 termasuk pengukuhan kerjasama rantaian bekalan, pembangunan ekosistem kenderaan elektrik dan pelaksanaan kemudahan pembiayaan pantas di bawah Inisiatif Chiang Mai.
Pada masa sama, Mohamad turut menyeru agar negara-negara ASEAN+3 terus memainkan peranan dalam menjamin keseimbangan strategik, kepercayaan serantau dan pembangunan inklusif, terutama ketika kuasa-kuasa besar global mempergiatkan pengaruh masing-masing di Asia Timur.
“Gabungan lebih 2.28 bilion orang penduduk dan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah USD29.33 trilion meletakkan tanggungjawab besar ke atas kita.
“(Tanggungjawab ini antara lain) untuk mempertahankan kestabilan, memperkukuh kerjasama dan menjadi suara yang membina,” katanya lagi.
Mohamad antara lain, turut menekankan keperluan ASEAN+3 untuk terus menyokong transformasi digital, teknologi hijau dan pemerkasaan modal insan sebagai teras kepada daya tahan rantau ini dalam menghadapi krisis masa depan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami