Houthi Yaman bebaskan 9 anak kapal Eternity C ditahan sejak Julai lalu

Foto-foto kru kapal Eternity C yang dibebaskan oleh kumpulan Ansar Allah di Sanaa melalui usaha rundingan Oman, sebelum diterbangkan ke Muscat menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Oman. - Foto X/Sameer Alnamri
SANAA: Kumpulan Houthi di Yaman telah membebaskan sembilan anak kapal yang ditahan sejak serangan ke atas kapal kargo Eternity C di Laut Merah pada Julai lalu, menurut laporan media dan pengesahan kerajaan Filipina.
Serangan ke atas kapal berdaftar di Liberia itu mengorbankan sekurang-kurangnya empat kru dan menyebabkan kapal tersebut karam.
Sembilan anak kapal yang terselamat, dipercayai warga Filipina, telah ditahan oleh Houthi selama hampir lima bulan.
Menurut saluran Al Masirah yang dikendalikan Houthi, kesemua tahanan telah diserahkan kepada pihak berkuasa Oman dan diterbangkan ke negara itu pada Rabu.
Data penjejakan penerbangan menunjukkan sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Oman mendarat di ibu negara Yaman, Sanaa, sebelum berlepas keluar dari ruang udara negara itu beberapa jam kemudian.
Kerajaan Oman belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemindahan tersebut, namun Manila sebelum ini berkata pihaknya menjangkakan pembebasan anak kapal itu dalam masa terdekat.
Serangan ke atas Eternity C berlaku ketika ketegangan meningkat di Laut Merah, dengan Houthi menyasarkan kapal-kapal komersial sebagai tindak balas terhadap perang Israel di Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


