Asia-Pasifik kekal penyumbang terbesar kepada pertumbuhan trafik udara global tahun depan

Walsh berkata permintaan penumpang kekal kukuh dengan China dan India menerajui peluasan serantau. "Ini dipacu oleh peningkatan aktiviti pelancongan dan pertambahan golongan kelas pertengahan." - Gambar fail/REUTERS
GENEVA: Rantau Asia-Pasifik dijangka kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan trafik udara global dengan faktor muatan diunjurkan mencecah 84.4 peratus tahun depan iaitu paras tertinggi sepanjang masa bagi rantau itu.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang berpusat di sini, menjelaskan bagaimanapun lebihan kapasiti terus menjadi cabaran bagi rantau itu.
IATA dalam pada itu memaklumkan keuntungan bersih bagi 2026 dijangka meningkat kepada US$6.6 bilion (RM27.15 bilion) dengan perolehan daripada permintaan penumpang bagi setiap kilometer (RPK) dijangka naik sebanyak 7.3 peratus dan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometeri diunjurkan pada 7.1 peratus.
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata permintaan penumpang kekal kukuh dengan China dan India menerajui peluasan serantau.
"Ini dipacu oleh peningkatan aktiviti pelancongan dan pertambahan golongan kelas pertengahan," katanya ketika Hari Media Global IATA yang diadakan di ibu pejabatnya di sini, pada Selasa.
Beliau berkata pelonggaran syarat visa bagi lawatan berkumpulan dari China ke Korea Selatan dan untuk pengunjung ke China dijangka merangsang permintaan masuk jangka pendek, khususnya ketika kemuncak musim percutian.
Pada 16 Julai, Malaysia dan China melanjutkan Perjanjian Pengecualian Visa Bersama Malaysia-China, berkuat kuasa 17 Julai, bagi lawatan jangka pendek sehingga 90 hari dalam tempoh 180 hari.
IATA menjelaskan bagaimanapun, lebihan kapasiti kekal sebagai cabaran ekoran pemulihan trafik antarabangsa yang lebih perlahan, sekali gus mewujudkan tekanan terhadap perolehan.
"Tekanan deflasi turut mengakibatkan penurunan perolehan di China.
"Walaupun eksport China ke Amerika Syarikat berkurangan namun kesan penggantian telah membantu mengimbangi impak ketegangan perdagangan apabila barangan China menemui pasaran alternatif," tambahnya.
Perolehan daripada penumpang bagi setiap kilometer (RPK) atau perolehan penumpang merupakan metrik industri penerbangan yang menunjukkan jumlah kilometer yang ditempuh oleh penumpang yang membayar tambang.
Tempat duduk tersedia bagi setiap kilometeri pula menunjukkan jumlah keseluruhan penumpang bagi setiap kilometer yang berpotensi dijana untuk menentukan jumlah perolehan yang direkodkan berbanding jumlah maksimum.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


