Skip to main content

Dunia

Aston Martin bakal gugur 20% tenaga kerja susulan jualan merosot akibat tarif AS

Aston Martin logo
Langkah penstrukturan itu melibatkan pemberhentian kira‑kira 600 pekerja daripada keseluruhan 3,000 kakitangan syarikat.

LONDON: Pengeluar kereta mewah Britain, Aston Martin, mengumumkan akan mengurangkan sehingga 20 peratus tenaga kerja globalnya susulan kemerosotan jualan berpunca daripada tarif import Amerika Syarikat (AS) serta permintaan yang semakin lemah dari pasaran China.

Langkah penstrukturan itu melibatkan pemberhentian kira‑kira 600 pekerja daripada keseluruhan 3,000 kakitangan syarikat.

Advertisement

Prestasi Aston Martin merosot ketara selepas jualan tahun lalu hanya mencecah 5,448 unit, selaras laporan kerugian pra‑cukai yang melebar kepada £493 juta (kira‑kira RM2.95 bilion) serta beban hutang bersih £1.38 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif, Adrian Hallmark, menyifatkan tarif import AS sebanyak 25 peratus sebagai “sangat mengganggu”, selain menjangkakan pasaran kenderaan mewah global bakal melalui tempoh paling mencabar pada 2025.

Sebagai sebahagian strategi pemulihan untuk menjimatkan sekitar £40 juta setahun, syarikat itu turut mengurangkan pelan perbelanjaan modal lima tahunnya daripada £2 bilion kepada £1.7 bilion, termasuk menangguhkan pelaburan dalam teknologi kenderaan elektrik (EV).

Walaupun rundingan perdagangan antara AS dan United Kingdom (UK) berjaya merendahkan tarif kepada hampir 10 peratus bagi had import tertentu, ketidaktentuan pasaran dan perubahan cukai kereta mewah di China terus menekan aliran tunai syarikat tersebut.

Bagi memperkukuh kedudukan kewangan, Aston Martin dilaporkan memeterai perjanjian bernilai £50 juta untuk menjual hak penjenamaan kekal pasukan Formula Satu (F1) miliknya.

Syarikat itu menyasar pemulihan prestasi menjelang 2026, disokong pelancaran model berprestasi tinggi termasuk penghantaran kira‑kira 500 unit kereta super hibrid Valhalla, yang dijangka meningkatkan harga jualan purata model syarikat.

Meskipun syarikat menjangkakan aliran keluar tunai akan berterusan pada tahun hadapan, Aston Martin optimis pembaharuan portfolio produk dan pengurangan kos mampu menstabilkan operasi dalam pasaran automotif mewah global yang masih mencabar.

Must Watch Video