MELBOURNE:Australia tidak berhasrat untuk membuka sepenuhnya sempadan negara itu tahun ini walaupun sebahagian besar penduduknya diberikan vaksin.

Setiausaha Jabatan Kesihatan Australia, Brendan Murphy berkata, sekatan di sempadan negara itu akan turut menyekat sementara kebenaran perjalanan antarabangsa.

"Walaupun kita akan mempunyai populasi penduduk yang sudah divaksin, namun, kita tidak tahu jika ia mampu mencegah jangkitan virus dan nampaknya kaedah kuarantin akan diteruskan untuk satu tempoh tertentu," kata Murphy.

Katanya lagi, susulan langkah sekatan sempadan yang ketat dilaksanakan, Australia berjaya mengekang penularan jangkitan dalam komuniti di negara itu.

Malah, kes-kes jangkitan COVID-19 yang berlaku ketika ini masih rendah dan terkawal.

Australia ketika ini masih melakukan sekatan perjalanan antarabangsa kepada pengembara kecuali kes-kes khas dengan syarat melakukan kuarantin wajib.
 
Negara itu setakat ini mencatatkan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 28,708 kes dengan 909 kematian.

Daripada jumlah itu, 25,913 dilaporkan telah sembuh.