LEBIH ramai kutu sampah berjaya dikenal pasti dan ditangkap dengan pemasangan kamera pemantau di sekitar Singapura, khususnya dari tempat tinggi.

Menurut Menteri Kanan Sekitaran dan Sumber Air (MEWR), Dr Amy Khor, sebanyak 3,000 kamera pemantauan dipasang sejak 2012.

"Kadar keberkesanan berdasarkan jumlah kamera yang dipasang adalah sekitar satu pertiga.

"Sebabnya, seringkali apabila kami memasang kamera-kamera ini, ia akan menghalang kutu sampah daripada membuang sampah sebarangan, jika dia tahu ada unit kamera yang memantaunya," kata Dr Khor, dipetik dari portal berita Mediacorp.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menerima sekitar 2,800 aduan kes buang sampah dari tempat tinggi pada 2015.

Tambah Dr Khor, meskipun tiada kematian akibat sampah maut tahun lalu, dua orang ditangkap kerana tindakan mereka membahayakan.

"Tahun lalu, NEA menjalankan lebih 800 tindakan penguatkuasaan terhadap kutu sampah yang membuang sampah dari tempat tinggi - naik 80 kali ganda berbanding 2011, apabila kamera-kamera pemantauan belum diperkenal," kata Dr Khor di parlimen.

Pesalah yang didakwa di mahkamah diarahkan membayar denda daripada S$700 (RM2,076) hingga S$5,600 (RM16,600).

Selain memasang kemera pemantauan, Dr Khor berkata cadangan untuk mendedahkan identiti kutu sampah kepada umum sedang dipertimbangkan.