Skip to main content

Berita

Pelantikan pemimpin asing di pelabuhan perlu disertai pelan penggantian bakat tempatan

Pelabuhan Klang
Jeyenderan berkata, setiap pelantikan perlu dinilai berdasarkan hasil yang boleh diukur, termasuk peningkatan kecekapan operasi, jumlah pengendalian kargo, tarikan pelaburan serta pemindahan pengetahuan kepada tenaga kerja tempatan. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelantikan eksekutif asing untuk menerajui sektor pelabuhan di Malaysia perlu dibuat berasaskan merit selain disokong tadbir urus yang kukuh bagi membangunkan kepimpinan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, pelantikan bakat antarabangsa sememangnya menjadi amalan dalam industri maritim global, namun pelabuhan di Malaysia mempunyai kedudukan unik sebagai infrastruktur strategik yang memberi kesan langsung kepada perdagangan, rantaian bekalan dan daya saing ekonomi negara.

Beliau berkata, sekiranya warga asing dilantik menerajui syarikat pelabuhan, langkah itu perlu diseimbangkan dengan penyertaan lebih kukuh rakyat Malaysia dalam lembaga pengarah, bidang kuasa yang jelas terhadap keputusan membabitkan aset strategik serta pemantauan berkala oleh pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, amalan antarabangsa semata-mata tidak seharusnya menentukan pendekatan Malaysia. 

"Pelabuhan bukan sekadar syarikat komersial, sebaliknya pintu masuk strategik perdagangan serta komponen penting dalam ekosistem logistik negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Baru-baru ini, Reuters melaporkan Sultan Ahmed Bin Sulayem yang juga bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World, akan mengambil alih penerajuan MMC Port Holdings dengan serta-merta susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Azman Shah Mohd Yusof.

Mengulas lanjut, Jeyenderan berkata pelabuhan utama dan pengendali terminal di seluruh dunia lazimnya merekrut bakat antarabangsa kerana industri itu memerlukan kepakaran yang sangat khusus.

Katanya, eksekutif berpengalaman sering berpindah antara negara bagi membawa kepakaran dalam bidang automasi terminal, pendigitalan, rangkaian perkapalan dan pembangunan pelabuhan.

Menurutnya, eksekutif asing yang berpengalaman berupaya mempercepatkan transformasi operasi melalui pengenalan teknologi baharu, meningkatkan produktiviti, menarik lebih banyak syarikat perkapalan serta mengukuhkan rangkaian komersial global.

Bagaimanapun, beliau berkata, setiap pelantikan perlu dinilai berdasarkan hasil yang boleh diukur, termasuk peningkatan kecekapan operasi, jumlah pengendalian kargo, tarikan pelaburan serta pemindahan pengetahuan kepada tenaga kerja tempatan.

"Pelantikan itu mesti memberi nilai tambah kepada Malaysia. Ia tidak seharusnya didorong persepsi semata-mata.

"Kita sudah mempunyai kumpulan profesional berpengalaman dalam bidang perkapalan, operasi pelabuhan, logistik, pematuhan kastam dan perkhidmatan maritim yang wajar diberi lebih banyak peluang untuk memegang jawatan pengurusan kanan," katanya.

Menurutnya, walaupun syarikat perlu diberikan fleksibiliti komersial dalam melantik pengurusan tertinggi, pelantikan membabitkan infrastruktur strategik negara juga perlu dinilai daripada aspek ketahanan nasional, standard tadbir urus, ketelusan operasi dan pembangunan bakat.

"Malaysia perlu terus terbuka menerima kepakaran global, namun setiap pelantikan mestilah memperkukuh ekosistem maritim negara dan pada masa sama membantu melahirkan generasi baharu pemimpin pelabuhan tempatan," katanya.

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement