BERMULA tahun ini sehingga 2026, majikan di Singapura yang meningkatkan gaji pekerja tempatan yang mempunyai gaji rendah akan menerima pembiayaan separa daripada kerajaan melalui skim baharu, menurut laporan The Straits Times.

Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat berkata, kerajaan akan membiayai 50 peratus daripada kenaikan gaji yang dibuat tahun ini dan tahun depan, 30 peratus bagi kenaikan gaji pada 2024 dan 2025, serta 15 peratus bagi kenaikan gaji pada 2026.

Melalui Skim Kredit Gaji Progresif baharu itu, subsidi tersebut terpakai untuk pekerja-pekerja tempatan iaitu warga Singapura dan pemastautin tetap negara itu yang menerima gaji kasar sehingga S$2,500 sebulan bersamaan dengan RM7,794.

Bagi pekerja dengan gaji lebih S$2,500 sehingga S$3,000, sebanyak 30 peratus daripada kenaikan gaji mereka boleh dibiayai melalui skim itu pada tahun ini, dan kemudian 15 peratus untuk kenaikan gaji pada 2024.

Majikan perlu menjana kenaikan gaji kasar bulanan sekurang-kurangnya S$100 secara purata dalam tempoh setahun untuk layak menerima pembiayaan melalui skim itu.

Pemberian bantuan wang akan dikreditkan secara automatik oleh Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menjelang suku pertama tahun itu berikutan kenaikan gaji oleh majikan.

Menurut Lawrence dalam pembentangan bajet, sebanyak S$2 bilion (RM6 bilion) akan diperuntukkan pada peringkat awal bagi membiayai skim ini sebagai usaha untuk membantu sektor perniagaan beralih kepada model gaji progresif.

“Kita semua - perniagaan, pengguna dan pembayar cukai - perlu memainkan peranan dan menyumbang kepada usaha untuk memperkasakan pekerja gaji rendah,” kata Lawrence.

Lawrence membentangkan Bajet 2022 Singapura bertemakan “Merangka Hala Tuju ke Hadapan Bersama’.