INTERNATIONAL
Bangkok gesa pemilik bangunan lakukan pemeriksaan keselamatan

Gabenor Bangkok menegaskan bahawa proses pemeriksaan itu mesti dilakukan dalam tempoh dua minggu bagi memastikan keselamatan semua penghuni. - Reuters
BANGKOK: Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menggesa pemilik dan penghuni bangunan di seluruh ibu negara untuk melantik pemeriksa bertauliah bagi menilai keutuhan struktur serta melaksanakan sebarang pembaikan, pengukuhan atau naik taraf yang diperlukan bagi memastikan keselamatan awam.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt menegaskan bahawa proses pemeriksaan itu mesti dilakukan dalam tempoh dua minggu bagi memastikan keselamatan semua penghuni.
"Inisiatif ini bertujuan memastikan keselamatan, kestabilan dan kefungsian bangunan sejajar dengan standard kejuruteraan dan undang-undang berkaitan. Pemilik bangunan dikehendaki memberikan kerjasama dalam pemeriksaan ini kerana pemeriksaan tahunan diwajibkan oleh undang-undang," katanya.
Beliau berkata pemilik bangunan perlu mengemukakan maklumat terperinci melalui Google Form, termasuk nama pemilik, nama dan nombor lesen pemeriksa serta penilaian pemeriksa mengenai keselamatan bangunan atau keperluan untuk sebarang penambahbaikan."Usaha kerjasama ini membolehkan BMA memantau keadaan keseluruhan bangunan di Bangkok dengan lebih berkesan," kata Chadchart.
Gabenor itu turut mendedahkan bahawa penduduk Bangkok telah melaporkan kira-kira 9,500 kes kebimbangan struktur melalui platform Traffy Fondue, peralatan digital yang dibangunkan BMA untuk menerima aduan.
Sementara itu, Chadchart mengumumkan bahawa BMA telah meminta individu yang mempunyai permit bagi kren menara dan kren derik di tapak pembinaan supaya memeriksa kestabilan dan keselamatan struktur berkenaan sebelum digunakan.
"Langkah berjaga-jaga ini bertujuan mengelakkan risiko terhadap kesihatan awam, nyawa dan harta benda. Inisiatif ini menegaskan komitmen Bangkok dalam memastikan keselamatan awam serta mengekalkan keyakinan terhadap kebolehgunaan infrastruktur bandar," katanya.
Pada Sabtu, BMA mengisytiharkan enam kondominium yang mengalami kerosakan teruk sebagai tidak selamat untuk didiami susulan gempa bumi kuat di Myanmar yang menyebabkan gegaran ketara di ibu negara Thailand pada Jumaat.
Gegaran itu mengakibatkan kerosakan meluas di Bangkok, termasuk sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan serta kren di beberapa tapak pembinaan, runtuh.
Angka kematian di Bangkok akibat gempa bumi pada Jumaat meningkat kepada 17 orang, dengan 32 lagi cedera dan lebih 70 masih dilaporkan hilang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami