BANGKOK: Kerajaan Thailand terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menyelesaikan konflik yang berlaku di selatan negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dizahirkan secara positif oleh rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha dalam lawatan dua hari ke negara itu

Menurut Anwar, pendamaian boleh dicapai jika semua pihak memiliki tekad politik untuk menamatkan pertikaian tersebut dan Bangkok bersedia menyentuh perbincangan berkaitan situasi di selatan Thailand, walaupun ia hal yang sensitif sebelum ini.

Bagaimanapun, tegas Perdana Menteri, penyelesaian terhadap konflik itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa Thailand dan masyarakat.

"Saya katakan peranan defisit kepercayaan ini ia bermula dari atas, jadi saya tengok perbincangan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Thailand) dan menteri-menteri itu ada nampak kesediaan.

"Kalau dulu nak sentuh-sentuh ini agak sensitif, tak boleh sentuh secara terbuka tetapi nampak kedua-duanya okey dan terbuka.

"Kita bincang dengan baik tetapi ia tidak boleh selesai di peringkat itu sahaja, di peringkat tentera polis, badan perisikan, peniaga, rakyat, ketua-ketua agama dalam masyarakat, bidang pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO).... kita kena terangkan supaya ia sampai ke bawah dan jaringan itu kuat," katanya dalam sidang media bersama media Malaysia, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia secara konsisten tidak bersetuju dengan sebarang keganasan, tetapi perlu mendengar kerunsingan masyarakat di selatan Thailand mengenai hak beragama dan menghormati budaya.

Anwar mengakui, Malaysia tidak boleh mencampuri urusan dalaman Thailand, tetapi kerajaan itu telah mempelawa pelantikan fasilitator Malaysia ke arah proses pendamaian.

"Kita akan melakukan apa sahaja yang perlu tetapi ini di bawah wilayah dan pihak berkuasa Thailand, dan (Malaysia) memahami tentang sensitiviti.

"Tetapi mereka bersedia untuk bekerjasama dalam menyelesaikan konflik yang ada di sana dengan menjemput fasilitator kita dan mengadakan perbincangan terbuka. Saya rasa ini satu sudut yang positif," kata Perdana Menteri lagi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu mengakui berpuas hati dengan siri lawatan kerja dua hari ke negara Gajah Putih.

Beliau yang juga Menteri Kewangan yakin mampu menarik syarikat-syarikat besar di Thailand untuk melabur di Malaysia.

"Macam perjanjian tenaga yang sangat berkesan dan pertemuan dengan beberapa syarikat konglomerat di Thailand yang nampak sangat positif.

"Saya percaya mingu depan akan ada rombongan-rombongan secara khusus untuk datang melabur di Malaysia," katanya.

Anwar tiba di Thailand pada Khamis untuk lawatan rasmi dua hari bagi meningkatkan hubungan dua hala dan mengukuhkan kerjasama pelbagai aspek antara Malaysia dan Thailand.

Ia merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke Thailand selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 atas jemputan Prayuth.

Malaysia merupakan fasilitator dialog damai antara Kerajaan Thailand dan pihak pemberontak di selatan Thailand.

Ia bagi mencari penyelesaian tuntas kepada kitaran konflik berterusan di selatan negara itu sejak 2004 yang menyebabkan lebih 7,000 kematian.

Terbaharu, Malaysia melantik Jeneral (Bersara) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebagai fasilitator baharu bermula Januari 2023 bagi menggantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, yang menyandang jawatan itu pada 2018.