DHAKA: Bangladesh mengenakan larangan masuk kepada pelancong dari lapan negara, termasuk negara jiran, India, yang disenaraikan dalam kumpulan negara berisiko tertinggi.

"Penduduk dari negara tersenarai tidak dibenarkan masuk ke Bangladesh," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Lembaga Penerbangan Awam Bangladesh (CAAB) pada Isnin.

Negara tersenarai dalam kategori Kumpulan A termasuk India, Nepal, Botswana, Mongolia, Namibia, Panama, Afrika Selatan dan Tunisia.

Bagaimanapun, warga Bangladesh yang berkunjung di negara berkenaan dalam tempoh 15 hari lalu dan bukan bermastautin dibenarkan masuk dengan kebenaran khas.

Kenyataan itu menambah kru kapal atau jurutera kapal yang telah menamatkan perkhidmatan di negara tersebut dalam tempoh 15 hari sebelum ini juga dibenarkan pulang selepas menyerahkan dokumen sah.

"(Tetapi) mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan," kata kenyataan itu.

Sementara itu, negara Asia Selatan dengan 166 juta penduduk itu telah melanjutkan larangan penerbangan domestik selama tujuh hari lagi sehingga 14 Julai berikutan peningkatan kes COVID-19.

Bangladesh pada Isnin mencatatkan kematian dan kes harian tertinggi sejak pandemik bermula dengan 164 lagi orang meninggal dunia dan 9,964 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai 15,229 dan jangkitan sebanyak 954,881.

-- BERNAMA