VILLALBA: Ramai memiliki idaman untuk membeli rumah di tengah bandar atau tidak kurang, di kawasan yang mempunyai lebih banyak akses dan tidak jauh dari pusat bandar.

Namun, tidak bagi dua beradik ini yang lebih tertarik untuk membeli rumah di wilayah Galicia, di barat laut Sepanyol yang bukan sahaja terpencil, malah ia merupakan bangunan yang terbiar.

Faktor harga rumah yang semakin mahal di bandar besar dan terlalu banyak kawasan perkampungan yang tidak berpenghuni membuatkan mereka memilih wilayah Galicia.

Bagi Bianca Cragg dan kakaknya Sarah, rumput hijau yang terbentang luas di sekeliling rumah dan infrastruktur yang unik membuatkan mereka sanggup meninggalkan gaya hidup serba moden.

"Saya memiliki sebuah rumah di selatan Sepanyol, di Andalusia dan di sana sangat panas dan saya mahukan sesuatu yang sebaliknya.

"Di Galicia, ia mengingatkan saya tentang pemandangan laut, ia sangat tenang, ia sangat santai, orang ramai di sini sangat mesra, jadi saya fikir ini adalah tempat yang sangat bagus untuk bersara, walaupun jelas saya tidak akan bersara sepenuhnya kerana kami mempunyai projek ini bersama-sama," katanya.

Bagi ejen hartanah, yang juga pasangan suami isteri, Rosa Maria Costoya dan Mark Adkinson, mereka mengakui bahawa hotel terbengkalai, bangunan terbiar ada potensinya tersendiri.

Kata mereka, 75 peratus hingga 80 peratus pelanggan mereka adalah warga asing dan kebanyakan mereka sememangnya mahukan perbezaan persekitaran dengan memiliki aset rumah di kawasan-kawasan yang agak jauh daripada hiruk pikuk bandar.