MIRI: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu, Nurfatin Syafawani Tahamat sah bertanding di kawasan itu selepas menyerahkan borang penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Arshad Samshu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau yang menjadi calon pertama tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Masyarakat Bekenu seawal jam 8.02 pagi itu diringi Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti tunjang GPS, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan ratusan penyokong.
Nurfatin menyerahkan borang penamaan calonnya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya pada jam 9:02 pagi.
Pencalonan beliau dicadangkan Richard Pie Anak Tugang dan disokong Hadijah Sheikh Kassim.
Nurfatin, 34, yang merupakan anak jati Kampung Kelulit, Bekenu, di sini, mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai jurutera kanan di Sarawak Energy Berhad (SEB).
Untuk rekod, seramai 20,878 pengundi berdaftar direkodkan bagi DUN Bekenu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang lalu, GPS mempertahankan kerusi yang dimenangi Datuk Rosey itu dengan majoriti 5,397 undi.
Dalam pertandingan empat penjuru itu, Rosey memperoleh 6,354 undi menewaskan tiga pencabar lain, iaitu Norhafizah Mohammad Joharie daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 957 undi (11.99 peratus), Abu Bakar Amit (PSB) dengan 377 undi (4.72 peratus) dan Desmond Gani Pengiran (PBK) yang meraih 296 undi (3.71 peratus).