Skip to main content

Dunia

Banjir buruk ragut 66 nyawa di Kenya, hujan lebat berterusan

FILE PHOTO: People stand around destroyed vehicles following flash floods caused by heavy rainfall in the Grogan area, popular for automotive workshops and secondhand spare parts, in downtown Nairobi, Kenya, March 7, 2026. REUTERS/Monicah Mwangi/File Photo
Orang ramai berkumpul di sekitar kenderaan yang musnah selepas banjir kilat akibat hujan lebat melanda kawasan Grogan, yang terkenal dengan bengkel automotif dan alat ganti terpakai, di pusat bandar Nairobi, Kenya, pada 7 Mac lalu. - Gambar Reuters

NAIROBI: Angka korban akibat banjir besar yang melanda Kenya terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 66 orang, selepas hujan lebat berterusan seminggu lalu mencetuskan banjir kilat di beberapa kawasan utama negara itu.

Menurut pihak polis, empat lagi mangsa terkorban dalam insiden terbaharu pada Ahad, sementara ibu negara Nairobi terus menerima hujan lebat sepanjang malam, namun tiada pertambahan korban dicatatkan setakat ini.

Advertisement

Dalam insiden dramatik di Nairobi, 11 penumpang sebuah minibus jenis matatu berjaya diselamatkan selepas kenderaan itu terperangkap dalam air yang naik secara mendadak. 

Dua kanak-kanak turut diselamatkan dari sebuah rumah yang ditenggelami air.

Hujan tanpa henti telah menyebabkan paras sungai melimpah, menenggelamkan rumah penduduk serta merosakkan jalan raya, talian elektrik dan saluran bekalan air.

Beberapa laluan utama di Nairobi dilaporkan ditutup selepas jambatan runtuh, manakala beberapa sekolah turut dinaiki air susulan hujan lebat pada Sabtu.

Kementerian Dalam Negeri Kenya memberi amaran bahawa lebih banyak kawasan dijangka mengalami hujan berintensiti tinggi, sekali gus meningkatkan risiko banjir.
Pihak berkuasa menggesa penduduk di kawasan rendah berpindah segera ke lokasi lebih selamat. 

Setakat ini, lebih 2,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Daripada 66 mangsa yang terkorban, 33 daripadanya berada di Nairobi, yang berdepan masalah sistem perparitan lemah serta pembangunan tidak terkawal yang menghalang laluan air sungai.

Penduduk Parklands, Kareem Hassan Ali memaklumkan kepada BBC bahawa paras air di sekitar kawasan kediamannya mencecah hampir dua meter pada Sabtu malam.

Walaupun rumahnya tidak dinaiki air, banyak kenderaan di parkir bawah tanah tenggelam sepenuhnya.

Seorang lagi penduduk, Deenesh Patel berkata, dia memilih bermalam di rumah rakannya selepas menerima amaran hujan lebat.

Kedua-duanya mendesak pihak berkuasa memperkukuh sistem saliran dan menghentikan projek pembinaan yang menutup laluan sungai.

Sementara itu, Presiden William Ruto memaklumkan, operasi pembersihan saluran air tersumbat sedang dijalankan, selain bantuan makanan dan perubatan dihantar kepada mangsa banjir.

Bagaimanapun, penduduk Parklands mendakwa belum melihat kehadiran pihak berkuasa, dan kebanyakan kerja pembersihan dilakukan sendiri oleh komuniti setempat.

Negara jiran, Ethiopia, turut berdepan bencana sama dengan lebih 100 mangsa terkorban akibat banjir dan tanah runtuh di kawasan selatan negara itu. - Agensi

Must Watch Video