Bank-bank di Netherlands mula memantau penggunaan kad debit dan kredit dari Ukraine dengan lebih ketat ekoran ada laporan kad bank milik penumpang penerbangan MH17 dicuri dari lokasi nahas, lapor akhbar Algemeen Dagblad di negara itu.

Nahas pesawat Malaysia Airlines itu mengorbankan 193 warganegara Netherlands, berdasarkan kepada senarai penumpang yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu pada Sabtu.

"Bank-bank diminta mengambil langkah berjaga-jaga, sekiranya perlu," kata Persatuan Bank-Bank Netherlands (NVB) dalam satu kenyataan yang dipetik oleh akhbar itu.

Kenyataan itu menambah bank-bank terlibat sedia membayar pampasan sekiranya ada mana-mana waris yang menanggung kerugian.

Ia juga membuat pemerhatian kad debit yang dicuri tidak mungkin dapat digunakan tanpa nombor PIN yang lazimnya hanya diketahui oleh pemilik kad berkenaan.

NVB bagaimanapun tidak dapat mengesahkan apakah ada kad bank yang dicuri dari lokasi kejadian, lapor akhbar itu lagi.

Media antarabangsa pada Sabtu melaporkan lokasi kejadian telah dijarah oleh penduduk setempat yang menyelongkar bagasi penumpang.

Laporan itu memetik kenyataan daripada wartawan dan pemantau daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) yang diberi kebenaran menghampiri tempat kejadian pada Jumaat dan Sabtu.

Bekas wartawan The Associated Press yang kini bertugas dengan BuzzFeed menulis di Twitter apa yang dilihatnya di lokasi nahas itu semasa menyertai misi pemantau OSCE pada Sabtu.


Rumusan mereka daripada tinjauan hari kedua pula ialah keadaan di tempat kejadian tidak terkawal dan boleh dimasuki oleh sesiapa saja, bergantung kepada kebenaran kumpulan pemberontak yang menguasai kawasan itu.

Sesetengah laporan media antarabangsa juga menyebut ada di kalangan anggota pemberontak yang memuatnaik foto barang-barang yang mereka curi di jaringan media sosial.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Sabtu melahirkan kebimbangan Malaysia terhadap keadaan kawasan nahas yang tidak dijaga dengan baik sehingga boleh dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau menegaskan gesaan Malaysia termasuk kepada kerajaan Ukraine agar integriti lokasi kejadian itu dilindungi segera.

Pesawat penerbangan MH17 dipercayai ditembak jatuh pada Khamis di kawasan timur Ukraine yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak yang pro-Rusia. Pesawat itu membawa 298 orang.

Ukraine dan kumpulan pemberontak Republik Rakyat Donetsk masing-masing menuduh satu sama lain bertanggungjawab terhadap nahas itu. Sesetengah pihak pula membuat spekulasi Rusia terlibat sebagai dalang.