DUNIA
Bantah pengumuman tarif, penunjuk perasaan bakar patung wajah Trump

Penunjuk perasaan membakar patung Trump dan bendera Amerika Syarikat sebagai bantahan terhadap pengumuman Trump mengenakan tarif 50% ke atas produk Brazil, di Sao Paulo, Brazil, 10 Julai 2025. REUTERS
SAO PAULO: Sekumpulan penunjuk perasaan di Brazil membakar patung wajah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta bendera negara itu dalam satu demonstrasi di Sao Paulo pada Khamis sebagai bantahan terhadap pengumuman tarif baharu ke atas semua eksport Brazil ke Amerika Syarikat.
Protes itu berlangsung sehari selepas Presiden Trump mengumumkan pengenaan tarif sebanyak 50 peratus ke atas semua barangan import dari Brazil, langkah yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelbagai sektor ekonomi negara Amerika Selatan itu.
Amerika Syarikat merupakan rakan dagang kedua terbesar Brazil selepas China juga merupakan antara negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan ekonomi terbesar di Amerika Latin itu.
Walaupun kesan ekonomi secara keseluruhan dilihat terhad, beberapa sektor seperti penerbangan dan perbankan dilaporkan mengalami tekanan serta-merta selepas pengumuman itu.Namun begitu, langkah tarif tersebut turut dijangka memberi kesan kepada pasaran domestik Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor makanan, memandangkan Brazil merupakan pengeksport utama produk pertanian seperti kopi, jus oren, gula, daging lembu dan etanol.
Menurut empat sumber perdagangan yang dipetik oleh Reuters, tarif 50 peratus yang dicadangkan itu dijangka menghentikan sepenuhnya aliran eksport kopi Brazil ke Amerika Syarikat, yang merupakan pembeli terbesar produk tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami