Skip to main content

Dunia

Ribuan penyokong Imran Khan mulakan ‘long march’, kerajaan Pakistan perkukuh kawalan ke Islamabad

Penyokong parti bekas Perdana Menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan, bersiap sedia untuk menyertai perarakan menuntut pembebasannya di Lakki Marwat, sebuah bandar terpencil di barat laut Pakistan, pada Ahad. - Gambar AP
Penyokong parti bekas Perdana Menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan, bersiap sedia untuk menyertai perarakan menuntut pembebasannya di Lakki Marwat, sebuah bandar terpencil di barat laut Pakistan, pada Ahad. - Gambar AP

Advertisement

LAKKI MARWAT, PAKISTAN: Ribuan penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan memulakan perarakan bantahan besar-besaran di barat laut negara itu pada Ahad selepas rundingan antara pihak kerajaan dan pembangkang gagal mencapai persetujuan.

Perarakan yang dianjurkan parti pembangkang Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) itu bertujuan membantah pemenjaraan Khan, yang kini ditahan sejak Ogos 2023 atas pelbagai pertuduhan termasuk rasuah, pengkhianatan dan menghasut keganasan.

Pihak berkuasa Pakistan telah membuat persiapan selama beberapa minggu bagi menghadapi kemungkinan kemasukan peserta demonstrasi ke Islamabad.

Perarakan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 27 September sebelum ditangguhkan ke Ahad.

Di bandar Lakki Marwat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang ditadbir PTI, ribuan penyokong dilaporkan memenuhi jalan raya sambil mengibarkan bendera merah dan hijau parti berkenaan.

Sebuah papan iklan besar yang dipasang pada sebuah trak memaparkan slogan “Bebaskan Imran Khan” serta gambar bekas Perdana Menteri itu dengan tangan diangkat sebagai simbol perjuangan.

Video yang dimuat naik menerusi akaun rasmi media sosial PTI turut menunjukkan penyokong berkumpul di beberapa lokasi sebelum bergerak secara berkonvoi sebagai sebahagian daripada apa yang digelar sebagai “long march”.

Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa, Sohail Afridi menegaskan, demonstrasi berkenaan akan diteruskan seperti dirancang.

Rundingan temui jalan buntu

Ketegangan berhubung penahanan Khan semakin memuncak sejak beberapa bulan lalu, terutama berkaitan isu rawatan kesihatan dan akses doktor serta ahli keluarga terhadap tokoh berusia 73 tahun itu.

PTI juga menuntut pembebasan tiga adik-beradik perempuan Khan yang ditahan bulan lalu, sekali gus menambahkan lagi ketegangan politik.

Pemimpin pembangkang, Allama Raja Nasir Abbas berkata, rundingan saat akhir antara kerajaan dan wakil PTI menemui jalan buntu.

Menurutnya, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan berhubung beberapa tuntutan utama termasuk akses doktor peribadi kepada Khan.

Khan dan pasukan peguamnya menolak semua pertuduhan yang dikenakan, sambil menyifatkannya sebagai tindakan bermotifkan politik untuk mengekang pengaruh serta popularitinya.

Faktor ekonomi dorong kemarahan rakyat

Pakar geopolitik, Tim Willasey-Wilsey berpandangan, protes yang tercetus tidak hanya berpunca daripada pemenjaraan Khan, sebaliknya, dipacu oleh tekanan ekonomi yang semakin membebankan rakyat Pakistan.

Menurut beliau, konflik melibatkan Iran telah memberi kesan kepada harga bahan api di Pakistan, manakala peperangan di Ukraine pula menyumbang kepada peningkatan kos makanan.

“Kehidupan harian rakyat Pakistan menjadi semakin sukar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Imran Khan menjadi tumpuan utama segala bentuk penentangan terhadap kerajaan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, James Dorsey dari National University of Singapore, menyifatkan Khan sebagai seorang pemimpin populis yang memiliki sokongan akar umbi yang sangat luas.

“Itulah sebabnya kerajaan dilihat begitu bertegas untuk menghalang peserta protes daripada memasuki Islamabad,” katanya.

Islamabad diperketat kawalan

Afridi berkata, peserta perarakan dijangka bergerak dari Khyber Pakhtunkhwa menuju ke Khairabad, kira-kira 80 kilometer di barat Islamabad, menjelang Khamis.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila peserta demonstrasi dijangka memasuki ibu negara.

Sebagai langkah persediaan, pihak berkuasa telah menutup beberapa laluan utama menuju ke Islamabad menggunakan kontena perkapalan yang disusun bertingkat, sekali gus menjejaskan aliran trafik dan pengangkutan awam.

Willasey-Wilsey berkata, pasukan keselamatan Pakistan mempunyai kemampuan untuk mempertahankan Islamabad dan kerajaan tidak berdepan ancaman segera.

Namun, beliau memberi amaran bahawa cabaran yang dihadapi Pakistan semakin bertambah, termasuk isu keselamatan susulan konflik dengan Afghanistan pada Februari lalu.

Dorsey pula berpendapat, kerajaan dijangka cuba mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan memandangkan keadaan keselamatan negara yang masih rapuh.

“Ini sememangnya satu masalah kepada kerajaan, tetapi bukan ancaman yang boleh menggugat kelangsungan pemerintahannya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Agung Pakistan pada Ogos memutuskan agar Khan dipindahkan ke hospital awam bagi menerima rawatan, namun pihak berkuasa mengembalikannya ke penjara selepas beliau menjalani rawatan singkat di sebuah hospital kerajaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement