LOS ANGELES: Siri barangan peribadi termasuk pakaian dan produk solekan milik mendiang bintang legenda Hollywood, Marilyn Monroe, dilelong sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada 1 Jun lalu.
Lelongan yang bermula pada Khamis itu dikendalikan oleh firma Julien's Auctions, menampilkan sebanyak 185 barangan daripada estet peribadi serta koleksi rakan rapat aktres berkenaan.
Antara barangan paling mendapat perhatian ialah sebuah beg tangan mini berbentuk silinder jenis minaudière dari era 1950-an, yang mengandungi sikat rambut kecil, gincu, lapan batang rokok Philip Morris serta syiling 10 sen era 1940-an, dengan bidaan tertinggi mencecah AS$70,000 (kira-kira RM282,200).
Firma lelongan itu berkata koleksi berkenaan turut memaparkan ratusan keping foto dan slaid milik Monroe yang tidak pernah diterbitkan sebelum ini, selain barangan dari kediaman terakhirnya di Brentwood, Los Angeles.
Turut mencuri perhatian ialah sehelai coli tembaga era 1950-an milik Monroe yang diwarisi oleh jurulatih lakonannya, Paula Strasberg, dengan bidaan tertinggi mencecah AS$7,000 (kira-kira RM28,200) berbanding anggaran awal AS$1,000 (kira-kira RM4,000).
Pintu pagar kayu hadapan berwarna hijau zaitun dari satu-satunya rumah yang pernah dimiliki Monroe di kawasan elit Brentwood turut dilelong, dengan bidaan semasa mencecah AS$15,000 (kira-kira RM60,480).
Sambutan ulang tahun kelahiran ikon abad ke-20 yang dilahirkan pada 1 Jun 1926 itu turut diraikan di seluruh Amerika Syarikat, termasuk perhimpunan lebih 1,000 peminat di Palm Springs, California, yang mengenakan gaun putih berlipat ikonik Monroe.
Sementera itu, sebuah lagi firma lelongan, Heritage Auctions, turut melelong skirt jenama Christian Dior yang dipakai oleh Monroe ketika bulan madunya, bersama sepucuk surat daripada suaminya, penulis skrip terkenal Arthur Miller.
Monroe, atau nama asalnya Norma Jeane Mortenson, meninggal dunia akibat pengambilan dos berlebihan pada tahun 1962 ketika berusia 36 tahun selepas membintangi beberapa filem terkenal termasuk Some Like It Hot dan Niagara.