DUNIA
BBC tolak dokumentari Gaza, Channel 4 ambil alih siaran

Walaupun dokumentari itu telah siap, BBC menangguhkan siarannya dengan alasan sedang menjalankan semakan dalaman berhubung satu lagi program berkaitan wilayah berkenaan. - Foto Reuters
LONDON: Saluran penyiaran Britain, Channel 4 akan menayangkan sebuah dokumentari mengenai pengalaman petugas perubatan di Gaza selepas BBC menarik diri daripada menyiarkannya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Channel 4 akan menayangkan dokumentari "Gaza: Doctors Under Attack" yang memaparkan pengalaman petugas kesihatan Palestin dan dakwaan serangan ke atas fasiliti perubatan, selepas BBC menarik diri.
- Dokumentari ini dijadual disiarkan pada 2 Julai dan telah melalui semakan fakta serta penyuntingan menurut piawaian editorial Channel 4 dan Kod Penyiaran Ofcom.
- Penerbit dokumentari, Basement Films, menyifatkan dokumentari ini sebagai yang paling mencabar setakat ini dan memberi penghormatan kepada lebih 200 rakan di Palestin yang terkorban.
Walaupun dokumentari itu telah siap, BBC menangguhkan siarannya dengan alasan sedang menjalankan semakan dalaman berhubung satu lagi program berkaitan wilayah berkenaan.
BBC kemudiannya memutuskan untuk tidak menyiarkannya atas alasan dokumentari itu boleh mencetuskan "tanggapan berat sebelah yang tidak selari dengan piawaian tinggi yang sewajarnya dijangkakan oleh orang ramai."
Dokumentari khas itu kini dijadual disiarkan di Channel 4 pada 10 malam, Rabu, 2 Julai.
Channel 4 memaklumkan bahawa dokumentari itu telah melalui proses semakan fakta dan penyuntingan mengikut piawaian editorial Channel 4 serta Kod Penyiaran Ofcom.
Ketua Berita, Hal Ehwal Semasa dan Dokumentari Khas Channel 4, Louisa Compton berkata dokumentari ini adalah laporan yang teliti dan penting kerana ia mengemukakan bukti yang menyokong dakwaan pencabulan serius undang-undang antarabangsa oleh tentera Israel.
"Ia wajar disaksikan secara meluas dan mencerminkan komitmen Channel 4 terhadap kewartawanan yang berani dan tidak gentar," katanya.
Basement Films, yang sebelum ini menghasilkan dua dokumentari berkaitan perang di Gaza sejak 7 Okt 2023, menyifatkan penghasilan dokumentari ketiga ini sebagai yang paling mencabar setakat ini.
"Ini adalah filem ketiga kami tentang serangan ke atas Gaza sejak 7 Okt.
"Tiada satu pun yang mudah, namun yang ini paling sukar sekali.
"Seperti biasa, kami amat berterima kasih kepada rakan-rakan kami di Palestin, lebih 200 daripada mereka telah terkorban akibat serangan Israel, serta para doktor dan petugas kesihatan yang mempercayai kami untuk menyampaikan kisah mereka," menurut syarikat itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami