Skip to main content

Politik

Akmal enggan ulas Rafizi, Nik Nazmi umum hala tuju baharu politik

JOHOR BAHRU, 23 April -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bercakap kepada pemberita pada Program Dasar Peluang Kedua (DPK) - Pelepasan Fast Tack 2026, di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim hari ini.  --fotoBERNAMA
Akmal yang juga Menteri Ekonomi enggan mengulas mengenai Rafizi dan Nik Nazmi, sebaliknya berkata, mahu menumpukan perhatian terhadap agenda ekonomi negara. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memilih untuk tidak mengulas mengenai tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang dijangka mengumumkan hala tuju politik baharunya hujung minggu ini.

Sebaliknya, Akmal yang juga Menteri Ekonomi berkata, mahu menumpukan perhatian terhadap agenda ekonomi negara.

“Tak payahlah, sekarang (program) World Bank. Saya punya pandangan... saya perlu hormat majlis hari ini mengenai ekonomi.

“Jika awak benarkan saya buat tugas saya, menguruskan ekonomi, terima kasih.

“Biar saya tumpu kepada ekonomi,” katanya ketika ditemui media pada Malaysia Economic Monitor di Asia School Of Business di sini, pada Khamis.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu sebelum ini dilihat antara pemimpin yang rapat dengan kem Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan pernah tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kepimpinan pusat parti selepas memperoleh 4,455 undi bagi jawatan Ahli MPP untuk penggal 2025 hingga 2028.

Sebelum aktif dalam politik, Akmal pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Beliau turut pernah menyertai INVOKE sebagai Ketua Pegawai Penyelidik selain menjadi pengasas bersama dan pengarah National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW) bersama Rafizi.

Semalam, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan mereka akan mengumumkan hala tuju politik baharu masing-masing pada Ahad ini.

Menurut Rafizi, tempoh setahun lalu memberi ruang kepada beliau dan Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa untuk meneliti pelbagai pandangan serta pertimbangan sebelum membuat keputusan mengenai langkah politik seterusnya.

Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan masing-masing yang berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai lalu selepas tewas dalam pemilihan PKR 2025 tahun lalu.

Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi pula kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden parti.
 

Must Watch Video