Lapangan terbang baharu bernilai berbilion dolar sedia memulakan operasi di Beijing, China untuk menampung lalu lintas udara yang semakin sibuk di negara itu.

Agensi berita AFP melaporkan, lapangan terbang besar yang mengambil inspirasi bentuk tapak sulaiman itu dijangka dirasmikan menjelang ulang tahun sambutan pentadbiran kerajaan Komunis ke-70 di republik tersebut.

Kerja pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing berakhir pada Ahad, dan sedia untuk perasmiannya pada 30 September nanti, sehari sebelum ulang tahun mengingati tarikh pengasasan pentadbiran Mao Zedong, iaitu 1 Oktober 1949.

Dalam pelbagai upacara yang bakal dirasmikan Presiden Xi Jinping di tengah-tengah bandar raya Beijing, perasmian lapangan terbang itu juga secara simbolik menunjukkan ‘impian futuristik rakyat China’.

Struktur binaan pada bahagian dalaman terminal. - Reuters

Terletak 46 kilometer di selatan Dataran Tiananmen, lapangan terbang baharu itu adakan beroperasi pada kapasiti penuh pada tahun 2025.

Ia mempunyai empat landasan penerbangan serta berpotensi menampung kedatangan 72 juta penumpang setahun.

Menjelang tahun 2040, hab udara itu dijangka berkembang kepada lapan landasan termasuk satu untuk kegunaan ketenteraan, dan boleh menerima sejumlah 100 juta penumpang setahun.

Mengikut perekanya, lapangan terbang itu akan menawarkan terminal tunggal terbesar di dunia.

Mengikut perekanya, lapangan terbang itu akan menjadi terminal tunggal terbesar di dunia. - Reuters

Lapangan Terbang Atlanta di Amerika Syarikat sekarang ini menerima lebih daripada 100 juta penumpang, namun melibatkan dua buah terminal.

Lapangan Terbang Daxing yang sedia ada kini – yang kedua terbesar di dunia – sudahpun sesak dengan 100 juta penumpang setahun.

Pengangkutan udara di China semakin pesat berkembang, dengan negara itu bakal menyaksikan 1.6 bilion penerbangan setahun bermula tahun 2037 – iaitu pertambahan 1 bilion berbanding tahun 2017.

Beijing yang berpopulasi 21 juta orang, menjangkakan kedatangan 170 juta penumpang pesawat pada tahun 2025.


TRIVIA LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA DAXING

Keluasan: 700,000 meter persegi (kira-kira saiz 100 padang bola)
Arkitek: Zaha Hadid
Integrasi: Stesen kereta api dan metro untuk menghubungkan penumpang ke pusat bandar raya
Kos: 120 bilion Yuan (RM72.4 bilion)
Hab penerbangan: Delta Air France, KLM, Eastern Airlines dan China Southern Airlines