NEW YORK: Seorang bekas pengaturcara komputer Agensi Perisikan Pusat (CIA) dijatuhi hukuman penjara 40 tahun semalam kerana membocorkan alat penggodaman paling berharga agensi pengintip Amerika Syarikat (AS) kepada WikiLeaks.

Memetik BBC, Joshua Schulte didapati bersalah atas tuduhan pengintipan dan lain-lain kesalahan pada 2022, dalam tragedi yang digelar CIA sebagai 'Pearl Harbor digital' iaitu pelanggaran data terbesar dalam sejarah agensi perisikan itu.

Schulte juga didapati bersalah memiliki imej pornografi kanak-kanak..

Pendakwa menuduhnya membocorkan alat "Vault 7" CIA, yang membolehkan pegawai perisik menggodam telefon pintar dan menggunakannya sebagai alat pendengar suara.

Pihak pendakwa memaklumkan bahawa pembocoran ini merupakan salah satu tindakan paling "berani" dalam sejarah Amerika Syarikat.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat memaklumkan, Schulte yang berusia 35 tahun, berkongsi kira-kira 8,761 dokumen kepada Wikileaks pada tahun 2017 sekali gus menjadi pelanggaran data terbesar dalam sejarah CIA.

Beliau menafikan tuduhan itu, tetapi disabitkan kesalahan dalam beberapa perbicaraan persekutuan berasingan di New York pada tahun 2020, 2022 dan 2023.

Hakim Daerah AS, Jesse Furman, menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun kepada Schulte kerana mengintip, menggodam komputer, menghina mahkamah, membuat kenyataan palsu kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan pornografi kanak-kanak.

Menurut dokumen mahkamah, Schulte bekerja untuk unit penggodaman elit CIA dari 2012 hingga 2016, ketika secara senyap mengambil alat siber yang digunakan untuk menceroboh sistem komputer dan teknologi. - BBC