BEIRUT: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Nissan Carlos Ghosn yang melarikan diri dari Jepun ke Lubnan selepas dituduh melakukan salah laku kewangan, menyaman bekas majikannya itu dengan menuntut ganti rugi AS$1 bilion, kerana memfitnahnya, lapor UPI.

Ghosn yang merupakan pegawai yang menjayakan pakatan antara pengeluar kereta Perancis Renault dan Nissan, akhirnya menjadi CEO kedua-dua syarikat.

Pada November 2018, Ghosn ditangkap oleh pihak berkuasa Jepun atas dakwaan melaporkan pendapatan yang lebih rendah berbanding jumlah sebenar.

Ghosn menjadi tajuk utama akhbar antarabangsa pada 2019 apabila melarikan diri dari Jepun ke Lubnan dengan bersembunyi dalam kotak peralatan muzik.

Ghosn memfailkan samannya di mahkamah Lubnan pada Mei.

Dalam tuntutannya, Ghosn yang menuduh bekas majikan dan rakan sekerjanya mereka-reka pertuduhan terhadapnya, berkata pertuduhan yang serius dan sensitif akan sentiasa terpahat dalam fikiran orang ramai selama bertahun-tahun.

Menurut tuntutan itu Ghosn akan menderita sepanjang hayatnya kerana kesan berterusan dan berlarutan walaupun hanya berdasarkan syak wasangka.

Ghosn mendakwa pertuduhan terhadapnya merupakan tindak balas terhadap rancangannya untuk menyelesaikan penggabungan sepenuhnya Nissan dan Renault.

Pihak berkuasa Jepun menamakan dua warga Amerika Syarikat (AS), Michael Taylor dan anaknya Peter, sebagai konspirator bersama dalam kes pelarian Ghosn.

Pasangan itu ditangkap oleh pihak berkuasa AS pada Mei 2020, sebelum diekstradisi ke Jepun pada 2021. Mereka telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah Jepun dan pulang ke AS pada 2022.

Jepun telah mengeluarkan notis merah Interpol ke atas Ghosn. Perancis turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Ghosn pada 2022 kerana mendakwa dia mencuci wang.

-- BERNAMA