BANGKOK: Mahkamah Jenayah Thailand meluluskan permintaan polis untuk terus menahan seorang wanita yang didakwa membunuh seorang wanita dengan meletakkan racun sianida dalam makanannya.

Sararat Rangsisuthaporn, yang merupakan bekas isteri seorang pegawai polis kanan, menjadi suspek dalam kes pembunuhan beberapa individu lain yang pernah ada kaitan dengan dirinya, dan kesemua mereka mati dalam keadaan yang serupa.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Surachate Hakparn pada Rabu berkata, dua lagi mangsa korban terbaru dari daerah Don Tum dan Muang, Nakhon Pathom telah dikaitkan dengan Sararat, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa 12 orang.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, bagaimanapun, terdapat seorang mangsa yang terselamat, dan telah memberikan maklumat kepada polis berkenaan pertemuannya dengan suspek.

Wanita itu juga telah diracun, hingga pada satu ketika jantungnya berhenti berdegup. Namun doktor yang merawatnya berjaya mengembalikan degupan, dan terus menjaganya supaya terus selamat.

Penahanan Sararat pada Selasa di Bangkok dilakukan pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah berserta waran. Pasukan berkenaan turut menemui sebotol bahan sianida dalam simpanan Sararat.

Penangkapan Sararat adalah susulan daripada laporan polis yang difailkan oleh ibu dan kakak kepada salah seorang mangsa, Siriporn Khanwong, 32, dari Kanchanaburi.

Siriporn dilaporkan telah rebah tiba-tiba dan mati di tebing Sungai Mae Klong di daerah Ban Pong, Ratchaburi, ketika sedang menyertai acara ritual agama. Racun sianida telah dikesan di dalam sistem tubuhnya.

Pasukan penyiasat percaya Sararat mencampurkan bahan sianida itu dalam makanan Siriporn, dan kemudian mencuri barang-barang berharga milik mangsa.

Polis memberitahu, Sararat sehingga kini mengunci mulut daripada memberi sebarang keterangan dan bertegas untuk tidak membenarkan sampel DNA diambil.

Tambah jurucakap polis, walaupun beberapa mangsa sebelumnya sudah disemadi secara dibakar di krematorium, pihaknya percaya bakal mengumpulkan cukup bukti untuk mengaitkan Sararat dengan semua jenayah itu.